SHAH ALAM:Prosiding kes Mahkamah Syariah di Selangor yang ditetapkan hari ini hingga 26 Jan akan dijadualkan semula susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) memaklumkan, bagaimanapun sepanjang tempoh itu kes-kes rayuan yang telah ditetapkan sesi pendengaran di hadapan panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah akan diteruskan seperti dijadualkan.

"JAKESS menggalakkan semua pihak menggunakan kemudahan perbicaraan secara dalam talian," menurut kenyataan tersebut, hari ini.

Kenyataan juga memaklumkan bahawa wakalah, afidavit, majlis sulh, perbicaraan atau sebutan bagi kes yang mempunyai tempoh had masa boleh dibuat melalui sidang video dengan permohonan dan persetujuan bersama pemohon serta responden manakala perkhidmatan runding cara pula akan dilaksanakan melalui telefon.

Bagi perkhidmatan pendaftaran kes baharu secara fizikal di kaunter mahkamah hendaklah dibuat janji temu melalui panggilan telefon yang hanya terhad kepada tiga kategori kes.



PKP-MAHKAMAH SYARIAH 2 (AKHIR) SHAH ALAM



"Pertama, kategori kes mendesak yang melibatkan keganasan rumah tangga atau penderaan, pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah, permohonan wali raja atau merekodkan persetujuan yang mana hendaklah dibuat melalui notis perakuan segera dan semua borang serta dokumen telah lengkap.

"Kedua, kes yang mempunyai tempoh had masa seperti pemfailan notis rayuan dan semakan dan seterusnya kategori perkhidmatan kaunter pemfailan dokumen melibatkan tempoh masa yang ditetapkan oleh undang-undang seperti alasan rayuan serta rekod rayuan," menurut kenyataan itu.

Ia juga memaklumkan semua temu janji yang telah dibuat melalui Aplikasi Temujanji Perkhidmatan JAKESS sepanjang tempoh PKP dibatalkan dan perlu membuat temu janji baharu selepas tamat tempoh berkenaan.

Pihak berkaitan boleh menghubungi talian premis Mahkamah Syariah Selangor atau layari laman sesawang JAKESS di www.jakess.gov.my bagi sebarang pertanyaan lanjut.

-- BERNAMA