PKP 2.0: Polis Pulau Pinang perketat kawalan keluar, masuk

Dewi Nur Harasha Alias
Januari 15, 2021 21:32 MYT
Setakat hari ketiga pelaksanaan PKP, pihaknya mendapati kebanyakan pengguna mematuhi arahan merentas negeri. - Gambar/ Astro AWANI
BUTTERWORTH: Polis Pulau Pinang meningkatkan pengawasan di semua laluan masuk ke negeri itu termasuk di Stesen Kereta Api Butterworth, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di negeri itu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pemeriksaan di stesen berkenaan dibuat bagi memastikan semua pengguna komuter dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan tidak merentas negeri tanpa kebenaran.
Noorzainy berkata, setakat hari ketiga pelaksanaan PKP, pihaknya mendapati kebanyakan pengguna mematuhi arahan merentas negeri apabila membawa bersama surat kebenaran daripada balai polis berdekatan sama ada untuk masuk ke Pulau Pinang atau ke negeri lain.
"Dalam pemeriksaan tadi, pihak kita mendapati pengguna yang menaiki kereta api yang nak menghala ke Padang Besar, Perlis, mematuhi SOP, dan mereka semua mempunyai surat kebenaran rentas negeri," katanya.
Sementara itu, Noorzainy berkata pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bersama Polis Bantuan KTM turut mengambil tindakan yang sewajarnya iaitu memastikan penumpang mempunyai surat kebenaran sebelum membenarkan mereka membeli tiket merentas negeri.
"Saya dapati tahap pematuhan amat baik, malah kita juga berterima kasih atas kerjasama yang diberikan pihak Polis Bantuan KTMB yang sama sama membantu memantau bagi memastikan pengguna patuh arahan ditetapkan," katanya selepas melakukan pemeriksaan mengejut di Stesen KTM Butterworth pada Jumaat.
#PKP #PKP 2 0 #pula pinang #polis #kawalan #pengawasan #rentas negeri #pintu masuk #keluar #Seberang Perai Utara #Noorzainy Mohd Noor
;