PKP 2.0: Pergerakan rentas negeri seluruh negara dilarang - PM Muhyiddin
Firdaus Azil
Januari 11, 2021 18:26 MYT
Januari 11, 2021 18:26 MYT
KUALA LUMPUR: Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa Rabu ini, pergerakan rentas negeri di seluruh negara adalah tidak dibenarkan sama sekali, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, bagi enam negeri yang diletakkan di bawah kategori PKP, pergerakan rentas daerah adalah tidak dibenarkan sama sekali.
Bagi negeri-negeri di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Perdana Menteri berkata, aktiviti sosial adalah dibenarkan, tertakluk kepada pematuhan SOP yang ketat.
“Susulan larangan pergerakan merentas negeri dan daerah ini, operasi sekatan jalan raya (SJR) akan mula berkuatkuasa pada jam 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari 2021. Bagi negeri yang dilaksanakan PKP, pergerakan anda adalah terhad di dalam 10 kilometer radius sahaja.
“Bagi tujuan membeli barangan keperluan dari pasar raya atau kedai runcit yang berdekatan, hanya dua anggota isi rumah yang dibenarkan untuk keluar dan berada di dalam kenderaan yang sama,” katanya lagi.
Terdahulu, Perdana Menteri berkata, enam negeri yang dikategorikan sebagai negeri PKP ialah – Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.
Beliau berkata, enam negeri yang dikategorikan sebagai PKP Bersyarat (PKP-B) pula ialah Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, dan Kelantan, manakala dua negeri di bawah kategori PKP Pemulihan (PKP-P) ialah Perlis dan Sarawak.
Perdana Menteri berkata, PKP itu akan berkuatkuasa selama dua minggu bermula 12.01 tengah malam Rabu, sehingga 26 Januari, 2021.
Bagi mengurangkan risiko jangkitan, beliau berkata, aktiviti sosial yang melibatkan perkumpulan beramai-ramai seperti kenduri kahwin, persidangan, perarakan keagamaan termasuk Thaipusam, mesyuarat, seminar, kursus dan sukan berkumpulan adalah dilarang.
Selain itu, Muhyiddin berkata, KKM akan membuat penilaian risiko secara berterusan bagi memutuskan sama ada pelaksanaan PKP ini akan ditamatkan atau diteruskan sebelum tempoh dua minggu berkenaan tamat.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, sepanjang pelaksanaan PKP, kedai makan dan gerai penjaja dibenarkan beroperasi hanya untuk perkhidmatan take away.
Bagi kawasan PKP-B dan PKP-P pula, jelasnya lagi, kedua-duanya dibenarkan beroperasi seperti biasa mengikut SOP yang telah ditetapkan, manakala perkhidmatan penghantaran makanan seluruh negara dibenarkan beroperasi seperti biasa.
"Pasar raya, perkhidmatan kesihatan termasuk klinik, hospital dan farmasi; serta bank dibenarkan beroperasi di kawasan PKP pada tahap berjaga-jaga. Patuhi SOP ketika berada di tempat-tempat ini seperti memakai pelitup muka dengan betul, jaga penjarakan fizikal dan kerap gunakan hand sanitizer.
"Sekiranya tidak ada keperluan segera atau mendesak, tidak perlulah keluar rumah. Stay at home," katanya lagi.
PKP: Pergerakan rentas negeri seluruh negara dilarang - PM Muhyiddin
#Muhyiddin Yassin
#Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan
#Pelaksanaan PKP
#PKP
#Perdana Menteri
#perintah kawalan pergerakan
#pergerakan rentas negeri
#SOP
#PM
#Putrajaya
#rentas negeri
#operasi
#sukan
#kesihatan
#pelitup muka