PKP 2.0: Perda wujudkan moratorium

Bernama
Januari 22, 2021 20:51 MYT
Insentif sokongan yang diwujudkan oleh Perda itu berlangsung selama tiga bulan bermula Januari sehingga Mac 2021 yang keseluruhannya bernilai RM561,100.
GEORGE TOWN: Lembaga Kemajuan Wilayah Utara (Perda) telah mewujudkan moratorium dan pengecualian kepada usahawan, penyewa gerai, premis, tanah dan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
Pengerusi Perda, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq berkata, insentif sokongan itu berlangsung selama tiga bulan bermula Januari sehingga Mac 2021 yang keseluruhannya bernilai RM561,100.
Beliau berkata, langkah itu diambil bagi meringankan beban rakyat demi kelangsungan perniagaan dan kehidupan harian individu yang bernaung di bawah Perda.
"Antara insentif yang disediakan adalah penangguhan dan penjadualan semula bayaran balik skim pinjaman Perda. Insentif ini akan melibatkan seramai 98 orang peminjam dengan implikasi kewangan sebanyak RM130,000," menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, Perda turut memberikan pengecualian bersasar bayaran sewaan premis perniagaan Perda melibatkan 368 premis dengan implikasi kewangan bernilai RM341,000 selain daripada pengecualian bayaran sewa tanah milik Perda melibatkan 54 penyewa tanah yang bernilai RM73,000.
Khaliq Mehtab berkata, 55 penyewa PPRT Tok Alang turut dikecualikan daripada membayar sewa rumah sepanjang tempoh moratorium yang keseluruhannya berjumlah RM17,100. - BERNAMA
#Lembaga Kemajuan Wilayah Utara #PERDA #Moratorium #perintah kawalan pergerakan #insentif sokongan #Pengerusi Perda #khaliq mehtab mohd ishaq #pprt
;