PKP 2.0: Penerbangan domestik AirAsia kekal beroperasi, kebenaran PDRM diperlukan
Bernama
Januari 12, 2021 20:42 MYT
Januari 12, 2021 20:42 MYT
KUALA LUMPUR : AirAsia Bhd mengumumkan bahawa perkhidmatan penerbangan domestiknya kekal beroperasi semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 13 hingga 26 Januari ini.
Dalam kenyataan hari ini, AirAsia berkata untuk perjalanan penting dalam tempoh ini, para penumpang mesti mendapatkan kebenaran sah daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum berlepas dan perlu mematuhi syarat-syarat kemasukan yang ditetapkan oleh negeri-negeri tertentu.
“Para tetamu yang mempunyai tempahan penerbangan antara 13 dan 26 Januari yang tidak dapat melakukan perjalanan dalam tempoh ini boleh membatalkan penerbangan mereka secara sukarela dan memilih perubahan tarikh penerbangan tanpa had.
“Perubahan boleh dibuat ke atas mana-mana tarikh penerbangan baharu sebelum 31 Mac 2021 di laluan yang sama tanpa had tanpa bayaran tambahan, tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk,” katanya.
Sementara itu, AirAsia berkata, para tetamu yang terjejas dengan pembatalan penerbangan semasa PKP akan dimaklumkan melalui emel dan/atau SMS mengenai pilihan yang ditawarkan kepada mereka.
---BERNAMA
#Penerbangan domestik diteruskan
#AirAsia
#Perintah Kawalan Pergerakan PKP
#perjalanan penting
#Polis Diraja Malaysia PDRM