PKP 2.0: Pematuhan SOP tinggi dalam kalangan masyarakat di ibu negara - Polis
Fareez Azman
Januari 15, 2021 06:05 MYT
Januari 15, 2021 06:05 MYT
KUALA LUMPUR: Hari ketiga Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyaksikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semakin meningkat dalam kalangan masyarakat terutamanya di ibu negara.
Astro AWANI berpeluang mengikuti Pasukan Pemantau Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi melaksanakan operasi di Kampong Bharu pada Jumaat malam.
Operasi disertai lebih 10 anggota PDRM dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) diketuai Asisten Superintendan Ahmad Zainal.
Jika sebelum ini, Kampong Bharu menjadi 'syurga' makanan buat warga kota sepanjang tahun, namun kini, situasi sama pada Mac tahun lalu berulang apabila keadaan menjadi lengang tepat jam 8 malam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata berdasarkan pemantauan pihaknya, boleh dikatakan kadar pematuhan SOP PKP dalam kalangan masyarakat adalah tinggi.
"Sepanjang tempoh tiga hari ini, tidak banyak kompaun kita keluarkan. Ini membawa maksud, warga kota (patuh SOP)... saya ingin ucap terima kasih kerana patuh dan akur arahan kerajaan.
"Saya nasihatkan, orang ramai supaya mematuhi SOP PKP. Setakat tiga hari pemantauan nampak masyarakat dah mula jadikan kelaziman baharu dalam kehidupan mereka, tidak seperti PKP dahulu.
"Sudah hampir setahun kita melalui PKP, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP), masyarakat dah mula sedar, patuh dan faham SOP dikeluarkan," katanya.
SOP PKP 2.0 | Sejauh mana orang ramai patuh
Dalam pada itu, beberapa peniaga yang ditemui sebelum menutup premis mereka turut menyatakan bahawa mereka akur dengan pelaksanaan PKP.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah bermula 13 Januari hingga 26 Januari depan.
#PDRM
#Muhyiddin Yassin
#SOP
#Kuala Lumpur
#PKP
#perintah kawalan pergerakan
#Pelaksanaan PKP
#operasi
#Polis Diraja Malaysia
#IPD Dang Wangi
#ACP Mohamad Zainal Abdullah
#Perdana Menteri
#Kampong Bharu