PKP 2.0: Pelajar Nigeria positif dadah, teman wanita dikompaun rentas daerah

Adie Sufian Zulkefli
Februari 18, 2021 06:35 MYT
Sebanyak 180 kompoun atas pelbagai kesalahan dikeluarkan polis sejak 4 Feb. 2021. - Astro AWANI
ALOR SETAR: Seorang pelajar warganegara Nigeria bersama teman wanitanya dikenakan kompaun atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Khamis.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, pasangan tersebut ditahan di Tol Alor Setar arah Utara, di sini, pada jam 3.30 petang.
"Ketika diperiksa, lelaki berkenaan, yang merupakan pelajar ijazah kedoktoran (PhD) sebuah institusi pengajian tinggi, didapati melakukan kesalahan rentas daerah tanpa kebenaran sah daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Siasatan turut mendapati lelaki terbabit positif ganja dan pernah melakukan beberapa kesalahan lain termasuk membabitkan imigresen dan dadah," jelasnya.
Katanya, lelaki berkenaan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut.
Teman wanitanya, seorang warganegara yang juga pelajar PhD di IPT sama, dikenakan kompaun atas kesalahan rentas daerah tanpa kebenaran yang sah.
Mereka antara 180 individu yang dikenakan kompaun atas pelbagai kesalahan oleh Team Pemantau Op COVID Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar sejak 4 Febrari lalu.
Antara kesalahan yang direkodkan termasuk tidak memakai pelitup muka, tidak melakukan penjarakan fizikal dan cubaan rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran.
#COVID-19 #PKP #pelajar #Nigeria #teman wanita #kompaun #Ahmad Shukri Mat Akhir #ingkar
;