PKP 2.0: Pastikan faktor psikologi pelajar, calon peperiksaan utama juga terjaga
Firdaus Azil
Januari 11, 2021 22:21 MYT
Januari 11, 2021 22:21 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa untuk mengambil kira keperluan penilaian psikologi golongan pelajar yang bakal mengambil peperiksaan utama seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan & Kesejahteraan Komuniti UKM Anuar Ahmad berkata, faktor psikologi kohort itu perlu diambil kira memandangkan mereka terpaksa melalui tempoh masa yang sukar sebelum menghadapi peperiksaan itu.
Ujarnya lagi, pelbagai jenis perbincangan, wacana dan bengkel telah dijalankan dalam memastikan pelajar dapat mengambil peperiksaan utama tahun ini, namun faktor psikologi tidak terlalu dititikberatkan.
"Ini kurang diberi perhatian dalam banyak perbincangan di mana kita lebih menumpukan soal jawab soalan, tetapi sebenarnya perkara paling pokok ialah bagaimana untuk memastikan pelajar ini mempunyai psikologi yang stabil.
“Saya harap pihak kementerian dapat membuat sesuatu kerana kita tahu ramai pelajar yang boleh belajar, dan mereka teruskan belajar, tapi bila berjumpa dan berbual mereka rasa secara psikologi masih tidak begitu bersedia, dan mereka rasa akan berhadapan dengan kegagalan,” katanya lagi.
Anuar berkata, beliau berharap pihak sekolah dan kementerian dapat mencari formula yang sesuai untuk memastikan psikologi golongan itu dapat dipertingkatkan supaya mereka terus fokus dan bersedia untuk menghadapi peperiksaan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri petang tadi, bahawa pelajar dan calon peperiksaan utama masih dibenarkan untuk hadir ke sekolah.
Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas mengenai Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 awal hari ini berkata, kumpulan pelajar berkenaan dibenarkan hadir ke sekolah dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Dalam pada itu, Anuar berkata, penilaian terhadap pelajar juga perlu dikaji semula, terutamanya dalam memastikan mereka yang berada dalam persekitaran kurang kondusif, tidak keciciran.
"Selepas ini KPM perlu melihat langkah-langkah mengemas kini sistem pembelajaran, kerana bukan COVID-19 saja…dah lama kita berhadapan banjir, bagaimana pelajar pelajar kita dalam kawasan banjir terpaksa berhadapan menjawab peperiksaan dalam ekadaan tidak kondusif.
“Jadi ini pemikiran masa depan, kita harap supaya pihak kementerian dapat segera bangunkan sistem penilaian yang lebih sesuai dengan zaman, sesuai dengan keperluan keperluan masa depan,” katanya lagi.
#Sijil Pelajaran Malaysia
#Kementerian Pendidikan
#pelajar
#banjir
#SOP
#COVID-19
#pendidikan
#sekolah
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#Perdana Menteri
#Muhyiddin Yassin
#SPM