PKP 2.0: Pakar kesihatan jangka perlu tempoh lama untuk kurangkan jangkitan
Irwan Muhammad Zain
Januari 15, 2021 13:14 MYT
Januari 15, 2021 13:14 MYT
KUALA LUMPUR: Pakar kesihatan berpendapat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu dilaksanakan lebih lama sekiranya kerajaan mahu melandaikan graf penularan COVID-19.
Hujah Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, ketika kali pertama PKP dilaksanakan pada Mac 2020, jumlah maksimum kes aktif adalah sekitar 2,596 berbanding 33,000 pada 14 Januari.
Disebabkan jumlah kes aktif yang tinggi ini, Kementerian Kesihatan (KKM) memerlukan lebih banyak masa dalam usaha mereka untuk melandaikan penularan COVID-19.
"Bila kita melihat pada data, kita bandingkan pada tahun lepas kita ada kes aktif sekitar 2,596 berbanding semalam lebih 33,000.
"Jadi sehubungan itu, jika tahun lepas kita memerlukan sekitar 6 minggu atau 2 bulan, saya jangkakan kita perlukan lebih daripada dua bulan. Saya jangka kita perlu tiga bulan untuk angka 33,000 itu dapat diturunkan," katanya kepada Astro AWANI.
Beliau juga berpendapat, kelonggaran di sektor sosial dan ada yang tidak mematuhi SOP menyebabkan penularan dalam komuniti meningkat.
Isnin lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri - Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah - untuk tempoh 14 hari bermula Rabu (13 Jan) hingga 26 Januari.
Enam lagi negeri - Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan dilaksanakan PKP Bersyarat (PKPB) manakala PKP Pemulihan (PKPP) bagi Perlis serta Sarawak, untuk tempoh sama.
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#Pelaksanaan PKP
#UPM
#Dr Malina Osman
#pandemik
#COVID-19
#kes aktif
#rakyat Malaysia