PKP 2.0: Orang bujang merungut, dobi layan diri akhirnya dibenar beroperasi - Ismail Sabri
Hasimi Muhamad
Januari 14, 2021 18:54 MYT
Januari 14, 2021 18:54 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk membenarkan kedai dobi layan diri beroperasi di negeri-negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bagaimanapun, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemilik perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) termasuk menempatkan pekerja untuk mengawal selia premis berkenaan.
Katanya, waktu operasi kedai dobi layan diri bermula dari 6 pagi sehingga 8 malam.
"Kita amat memahami tentang keperluan. Ramai yang mengadu terutamanya golongan bujang yang mengatakan mereka sangat memerlukan dobi layan diri kerana tiada siapa yang membasuh pakaian.
"Jadi, mereka pergi kedai dobi layan diri, sekarang pun musim hujan dan kedai dobi layan diri boleh mengeringkan pakaian, jadi sangat diperlukan.
"Alasan kita (untuk tidak benarkan kedai dobi layan diri beroperasi sebelum ini) adalah kerana tiada pengawalan. Jadi kita takut pelanggaran SOP dan akhirnya berlaku penyebaran virus COVID-19.
"Setelah meneliti permohonan dan rungutan, akhirnya hari ini kita bersetuju dobi layan diri beroperasi," katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan sentiasa memantau operasi kedai tersebut.
Tegasnya, jika terdapat mana-mana pemilik premis yang ingkar arahan yang ditetapkan, operasi kedai tersebut akan dihentikan.
#perintah kawalan pergerakan
#COVID-19
#SOP
#PKP
#kedai dobi layan diri
#darurat
#Ismail Sabri
#dobi layan diri
#dibenarkan
#beroperasi
#ismail sabri yaakob
#kerajaan benarkan