PKP 2.0: Laksana semula moratorium secara menyeluruh - DPDM
Fauzi Suhaimi
Januari 15, 2021 15:18 MYT
Januari 15, 2021 15:18 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran untuk memperkenalkan semula kemudahan moratorium kepada semua pihak khususnya bagi penduduk di enam negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semula.
Presiden Dewan Perniagaan Digital Malaysia (DPDM), Chris Daniel Wong berkata, langkah itu amat diperlukan rakyat susulan pelaksanaan PKP yang telah menjejaskan pendapatan syarikat, sekali gus memberi kesan langsung kepada pendapatan isi rumah.
Katanya, meskipun aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi, namun perkara itu bukan jaminan kepada golongan pekerja.
“Kerajaan perlu melaksanakan semula moratorium secara keseluruhan di enam negeri yang dikenakan PKP.
“Kita tahu kemudahan itu masih diberikan secara bersasar, namun apalah gunanya jika golongan sasar yang sebelum ini mampu bayar tapi kini sudah tidak mampu sebab terlibat dengan pemotongan gaji sehingga 30 peratus susulan syarikat tiada pendapatan.
“Jika kerajaan tidak dapat laksanakan secara menyeluruh, adalah molek untuk pertimbangkan secara 50 peratus di negeri yang saya nyatakan ini,” katanya kepada Astro AWANI disini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Daniel Wong berkata, kerajaan juga tidak perlu memikirkan tentang kemampuan institusi perbankan kerana perkara itu diyakini boleh dilaksanakan.
"Kerajaan tidak perlu risau tentang (kemampuan) bank kerana berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia (BNM) pada akhir tahun 2020 mendapati aliran tunai bank adalah kukuh.
"Jadi tiada sebab bank tidak boleh beri moratorium secara 100 peratus," ujarnya.
Sementara itu, beliau menambah, kerajaan juga diminta untuk memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) baharu yang hampir sama seperti yang dilaksanakan ketika PKP pada Mac lalu.
"Semasa pengumuman PKP sebelum ini, kerajaan sertakan dengan PRE, namun kali ini tidak dan ini akan memberi kegusaran kepada rakyat khususnya mereka yang benar-benar terjejas.
"Perkara ini amat perlu jika PKP 2.0 ini akan dilanjutkan dalam tempoh dua minggu lagi seperti sebelum ini," jelasnya lagi.
#Bank Negara Malaysia
#Pelaksanaan PKP
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#Moratorium
#ekonomi
#Presiden Dewan Perniagaan Digital Malaysia Chris Daniel Wong
#COVID-19