PKP 2.0, ketidaktentuan politik antara faktor Bank Dunia turunkan unjuran ekonomi

Harits Asyraf Hasnan
Mac 26, 2021 13:55 MYT
Ketua Ahli Ekonomi, Kumpulan Bank Dunia, Richard Record berkata, proses pemulihan ekonomi Malaysia dijangka akan mula menunjukkan hasil pada suku kedua tahun ini. - Foto BNM
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) pada 13 Januari lalu menjadi alasan mengapa Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia daripada 6.7 peratus pada Disember lalu, kepada 6.0 peratus hari ini.
Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan Bank Dunia, Richard Record berkata, proses pemulihan ekonomi Malaysia dijangka mula menunjukkan hasil pada suku kedua tahun ini.
"Mengambil kira tempoh pelaksanaan PKP yang telah menjejaskan Januari, Februari dan sebahagian Mac, telah menyebabkan lonjakan semula ekonomi Malaysia tergendala.
"Unjuran kami, mengambil kira lonjakan yang kukuh pada suku kedua tahun ini dan pengukuhan berterusan pada suku ketiga dan keempat, termasuk pelaksanaan program vaksinasi COVID-19.
"Ia akan berterusan mengukuhkan permintaan luaran dalam menyokong aktiviti ekonomi," katanya dalam sidang media secara maya pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Record berkata, antara faktor lain yang mempengaruhi penurunan unjuran ekonomi Malaysia termasuk ketidaktentuan politik.
"Kami telah beberapa kali mengadakan perbincangan dengan pelabur-pelabur asing dan antara perkara dibimbangi mereka adalah situasi politik semasa di Malaysia.
"Jadi sebab itu kami turut senaraikan perkara ini (ketidaktentuan politik) sebagai antara faktor kelewatan dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia," katanya.
Dalam pada itu, Wakil dan Pengarah Malaysia, Kumpulan Bank Dunia, Firas Raad berkata, peningkatan kes COVID-19 di Eropah serta beberapa negara lain memerlukan penduduk Malaysia untuk kekal patuh garis panduan yang ditetapkan.
"Semua orang perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama pemakaian topeng muka, penjarakan fizikal dan sebagainya dalam pastikan jangkitan ini dibendung.
"Jika kita lihat peringkat global, terdapat peningkatan kes di Eropah dan negara-negara lain. Jadi langkah pencegahan perlu dilaksanakan.
"Program vaksinasi perlu berterusan dan pada masa sama perlu patuh kepada SOP yang ditetapkan kerajaan," katanya dalam sidang media sama.
Bank Dunia hari ini mengeluarkan unjuran tersebut menerusi Kemaskini Laporan Ekonomi Asia Timur dan Pasifik bagi April 2021 bertajuk 'Uneven Recovery'.
Bank itu mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang pada 6.0 peratus, turun 0.7 peratus berbanding unjuran yang dibuat pada Disember tahun lalu.
Ekonomi Malaysia dijangka pulih seperti pra-pandemik COVID-19 sekitar suku ketiga dan suku keempat tahun ini, lapor Bank Dunia.
#PKP #perintah kawalan pergerakan #Pelaksanaan PKP #program vaksinasi #politik #ekonomi #Bank Dunia #World Bank #unjuran ekonomi malaysia
;