PKP 2.0: Kerajaan bincang lanjutkan operasi kedai sehingga 10 malam - Ismail Sabri

Ridauddin Daud
Januari 19, 2021 19:20 MYT
Ramai yang berpendapat bahawa apabila ditutup pada jam 8.00 malam, menyukarkan mereka untuk mendapatkan makanan.- Gambar hiasan
KUALA LUMPUR : Kerajaan akan membincangkan aduan orang ramai yang mahukan operasi kedai dan restoran dilanjutkan daripada jam 6 pagi sehingga jam 10 malam.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sentiasa mendengar rungutan atau keluhan rakyat dalam semua aspek termasuk berkaitan perkara itu serta sudah dibawa dalam mesyuarat.
“Ramai yang berpendapat bahawa apabila ditutup pada jam 8.00 malam, menyukarkan mereka untuk mendapatkan makanan. Jadi mesyuarat berbincang perkara ini.
“Mesyuarat juga telah meminta MKN (Majlis Keselamatan Negara) untuk berbicang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengkaji perkara yang dicadangkan ini.
“Sebab kesannya, alasan diberikan, jika kedai makan dibuka maka operasi lain juga minta mereka juga dibenarkan beroperasi sampai 10 malam,” katanya pada sidang media khas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Selasa.
Tambahnya, mereka juga meminta KKM memberi pandangan kepada MKN mengenai cadangan dan permohonan daripada rakyat itu.
“InsyaAllah perkara itu akan dibincangkan dan jika diputuskan, ia akan diumumkan dengan segera,” ujarnya.
Waktu operasi kedai terutamanya kedai makan menjadi perbualan hangat warga maya sejak beberapa hari lepas yang tidak berpuas hati dengan tempoh perniagaan yang agak singkat.
Menurut komen di internet, ramai daripada mereka tidak sempat untuk membeli makanan kerana kebanyakannya hanya tamat kerja kira-kira jam 7.00 malam.
[SIDANG MEDIA] Perintah Kawalan Pergerakan (PKP/PKPB) - 19 Jan 2021
#Kedai makan #restoran #PKP #perintah kawalan pergerakan #Majlis Keselamatan Negara #MKN #KKM #Kementerian Kesihatan #ismail sabri yaakob #kerajaan #kesihatan #rakyat #keselamatan #operasi #menteri
;