PKP 2.0: Kampong Bharu lengang, tidak sesak seperti biasa

Ridauddin Daud
Januari 13, 2021 18:01 MYT
Kampong Bharu yang selama ini sesak, dipenuhi orang pada setiap pagi lengang pada hari pertama pelaksanaan PKP. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Setiap pagi, Kampong Bharu yang terletak di tengah ibu kota pasti menjadi tumpuan ramai orang dari sekitar Kuala Lumpur yang memilih untuk bersarapan di sana.
Nasi lemak, nasi kerabu, kuih-muih, semuanya ada di sana namun segalanya berubah tatkala Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bermula hari ini.
Kawasan itu yang selama ini sesak kini lengang, peniaga pula lebih banyak termenung, tidak lagi sibuk seperti kelazimannya.
Bagi peniaga, tiada apa mereka boleh katakan selain perniagaan terjejas teruk dan jumlah pelanggan merosot, ada yang berkurang sehingga 80 peratus.
BACA: PKP 2.0: Ini sektor ekonomi yang dibenarkan operasi
BACA: PKP 2.0: Dua minggu ini sangat kritikal untuk negara - Dr Noor Hisham
Peniaga, Muhd Rezwan Mohd Nazrin berkata, perniagaan nasi lemak diusahakan keluarganya kini banyak memberi tumpuan kepada penghantaran memandangkan pelanggan tidak dibenarkan makan di kedai.
“Hari ini kurang banyak, sebelum ini kalau pukul 8 sampai 10 pagi, memang beratur panjang, order pun masuk banyak tapi bila jadi macam ini (PKP 2.0), memang banyaklah kurang.
“Kita mengharapkan delivery sajalah, delivery dengan bungkus, itu sajalah. Kita pun nak kuatkan (tingkatkan pemasaran) berniaga (perniagaan) kita dari segi (media) sosial ke, dalam talian, Facebook ke, marketing, itu sajalah kita harapkan,” katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.
Bagi seorang lagi peniaga, Maranon Mohd Ali, perniagaannya pada hari pertama pelaksanaan PKP agak teruk terjejas namun dia sudah merancang beberapa strategi bagi memastikan semuanya berjalan lancar.
[INFOGRAFIK] Apakah yang anda boleh lakukan di rumah semasa PKP
“Kita kena fikir sendirilah bagaimana nak majukan perniagaan kita, apa strategi yang kita kena buat, kita tak boleh harapkan kerajaan sajalah. Kita sendiri kena gerak.
“Kali kedua kita kena (PKP), jadi kita kena ada pelan A, pelan B semualah. (Sudah) ada pelan macam mana nak atasi perniagaan ini semua,” ujarnya.
Penduduk tempatan, Khairi Samuri pula mengakui agak terkejut melihat Kampong Bharu lengang kerana ia sentiasa sibuk sejak beberapa bulan lepas.
“Benda macam ini, kita nak cakap pun susah. Sebab apa, tiap-tiap benda, perniagaan ini ada pasang surutnya, kita tak boleh kata meniaga ini sentiasa bagus.
“Selagi COVID-19 ini ada, selagi itu peniaga dan masyarakat akan terjejas. Sejak PKP ini, adalah menurun sedikit macam dulu, PKP yang pertama. Dalam PKP 2.0, peniaga akan berhati-hati dalam berniaga,” ujarnya.
BACA: PKP 2.0: SJR dipergiatkan tengah malam ini
Astro AWANI turut melakukan tinjauan di beberapa lokasi lain dan boleh dikatakan kebanyakan kawasan di Kuala Lumpur agak lengang, tidak sibuk seperti biasa.
Bahkan, pasar di Jalan Raja Bot yang selama ini dipenuhi orang ramai kelihatan agak lengang, tidak ramai seperti biasa.
PKP 2.0 | PDRM pertimbang naikkan kadar kompaun
Trafik pada awal pagi juga tidak begitu sesak walaupun jumlah kenderaan dilihat masih lagi banyak, tidak seperti PKP pada 18 Mac tahun lepas.
Semua pemandu kenderaan juga dilihat menunjukkan surat kebenaran rentas daerah dan negeri ketika diarahkan polis.
#Kampong Bharu #PKP #PKP 2 0 #perintah kawalan pergerakan #peniaga #COVID-19 #Pelaksanaan PKP #terjejas #pelanggan #merosot #lengang #sesak #tidak sesak
;