PKP 2.0: GrabFood beroperasi 7 pagi hingga 8 malam
Astro Awani
Januari 12, 2021 19:11 MYT
Januari 12, 2021 19:11 MYT
KUALA LUMPUR: Selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa negeri bermula 13 Januari sehingga 26 Januari depan, syarikat e-hailing Grab menyatakan bahawa perkhidmatannya masih kekal beroperasi pada tempoh itu.
Namun, waktu operasi bagi perkhidmatan GrabFood dan GrabMart telah dihadkan dari 7 pagi hingga 8 malam dalam satu kemas kini menerusi aplikasinya.
Pesanan terakhir menggunakan perkhidmatan tersebut perlu dibuat sebelum jam 7 malam.
“Kami ingin memberi jaminan bahawa perkhidmatan Grab - Food, Mart, Express dan Transport - akan terus beroperasi bagi melayani komuniti di Malaysia,” jelas Grab dalam satu kenyataan.
“Sejak PKP pertama tahun lepas, kami telah mengambil langkah-langkah untuk mempercepatkan adaptasi teknologi digital bagi menjaga kelangsungan hidup komuniti dan akan terus meningkatkan usaha.”
Antara langkah yang diambil adalah untuk memastikan pemandu e-hailing terus mengukuhkan rangkaian penghantaran Grab serta menjamin gaji mereka meskipun permintaan terhadap perkhidmatan pengangkutan mungkin menurun pada tempoh ini.
Selain itu, pemandu e-hailing Grab akan menerima RM1,000 sekiranya meereka didapati positif, atau sejumlah wang sehingga RM350 jika mereka perlu kuarantin.
Pemandu Grab turut akan diberi akses kepada pelitup muka, pensanitasi tangan serta alat-alat pembersihan lain menerusi platform GrabBenefits.
Bagi peruncit yang menggunakan aplikasi Grab, beberapa perkhidmatan seperti Food Courts by GrabFood dan Pasar by GrabMart akan diteruskan supaya pengguna mempunyai akses kepada barang keperluan ketika tempoh ini.
“Dengan permintaan yang mungkin akan terkesan pada tempoh ini, kami akan terus menyokong peruncit yang baru berkembang menerusi Mart, termasuk kedai runcit dan farmasi dengan perkhidmatan penghantaran kami,” kata kenyataan itu.
Bagi pengguna pula, Grab menyarankan supaya penghantaran serta pembayaran dibuat tanpa bersemuka agar dapat mengurangkan risiko kontak rapat.
#grab
#Grabfood
#GrabCar
#grabmart
#e-hailing
#Grab driver
#MKN
#Majlis Keselamatan Negara
#SOP
#PKP
#PKP 2 0
#perintah kawalan pergerakan