PKP 2.0: Bekalan darah Hospital Tuanku Fauziah Kangar hampir kritikal

Adie Sufian Zulkefli
Februari 3, 2021 19:03 MYT
Sehingga Januari tahun ini, HTF hanya dapat mengumpul 649 pek darah sahaja berbanding keperluan antara 700 hingga 800 pek darah setiap bulan. - Gambar fail
KANGAR: Tabung bekalan darah di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, berada pada paras hampir kritikal berikutan bilangan penderma berkurangan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bulan lalu.
Pakar Perubatan Unit Transfusi HTF, Dr Wan Noor Falah Wan Yahaya, berkata kekurangan bekalan darah di hospital berkenaan antaranya berpunca daripada pembatalan pelbagai program termasuk kempen derma darah.
"Dari segi penderma itu sendiri mungkin mereka pun tak tahu waktu PKP mereka sebenarnya boleh menderma.
"Mungkin juga mereka takut (untuk datang ke hospital disebabkan COVID-19) sebab kebanyakan hospital, tabung darah (Unit Transfusi) berada di dalam hospital sendiri.
"Kita sebenarnya ada langkah dan prosedur operasi standard (SOP) untuk mengelakkan perkara tidak diingini. Orang awam tidak perlu bimbang," katanya ketika ditemui di HTF, hari ini.
Katanya, berdasarkan rekod kutipan bekalan darah tahun lalu, HTF mengalami pengurangan bekalan darah kepada 8,725 pek sepanjang Januari hingga Oktober, berbanding 9,108 pek pada 2019.
Katanya, sehingga Januari tahun ini pula, HTF hanya dapat mengumpul sebanyak 649 pek sahaja berbanding keperluan lazim antara 700 hingga 800 pek darah setiap bulan.
Dalam pada itu, beliau berkata kesedaran di kalangan masyarakat mengenai kepentingan derma darah semakin meningkat apabila 26.2 peratus jumlah penderma baharu direkodkan tahun lalu.
Katanya, HTF mengalu-alukan orang ramai yang ingin menderma darah dan mereka boleh berbuat demikian dengan mengunjungi Unit Transfusi HTF yang dibuka setiap hari dari 8 pagi hingga 5 petang kecuali Ahad (8 pagi hingga 1 tengah hari).
#darah #bekalan darah #HTF #Hospital Tuanku Fauziah #Kangar #PKP #pembatalan program #kempen derma darah #kritikal
;