PKP 2.0: Baki sektor peruncitan dibenar kembali beroperasi - Ismail Sabri
Irwan Muhammad Zain
Februari 9, 2021 19:19 MYT
Februari 9, 2021 19:19 MYT
KUALA LUMPUR: Semua sektor peruncitan dibenarkan kembali beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bermula Rabu, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau menjelaskan, kerajaan memutuskan kebenaran itu dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) demi memastikan kelangsungan ekonomi peniaga kecil.
Antara sektor peruncitan yang dibenarkan kembali beroperasi termasuklah kedai pakaian dan fesyen, aksesori, kasut, barangan dan perkhidmatan fotografi, barangan terpakai, kedai bunga, alat permainan, permaidani, alatan sukan, kosmetik, peralatan dapur, aksesori kenderaan, dan Ar-Rahnu.
"Senarai penuh sektor runcit yang dibenarkan beroperasi ini boleh didapati dalam laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)," katanya pada sidang media hari ini.
Sebelum ini kerajaan sudah membenarkan beberapa segmen peruncitan tertentu beroperasi dalam PKP dan pengumuman hari ini adalah baki yang belum dibenarkan.
#peruncitan
#Majlis Keselamatan Negara
#operasi
#ismail sabri yaakob
#KPDNHEP
#Menteri Kanan Pertahanan
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#kelangsungan ekonomi
#Peniaga kecil