PKP 2.0: Awas! Jangan ingat musim hujan tiada sekatan jalan raya - Polis Sabah

Eleanor Michelle Patrick
Januari 19, 2021 16:20 MYT
Kelihatan anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetap bertugas walaupun dalam keadaan cuaca hujan. - Foto BERNAMA
KOTA KINABALU: Polis tidak berkompromi kepada mana-mana individu yang didapati cuba mengambil kesempatan merentas daerah tanpa kebenaran ketika musim hujan dan banjir di negeri ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, ini memandangkan orang ramai banyak beranggapan sekatan jalan raya (SJR) tidak diadakan ketika hujan, namun sangkaan itu meleset sama sekali.
Jelas beliau, polis tetap mengadakan operasi dan tidak sesekali akan berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan prosedur operasi standard (SOP).
"Ada, sebagai contoh kelmarin tular di media sosial dalam masa tiga jam di Tawau seratus buah kereta telah dihalang dan diarah patah balik.
"Ini kerana kita dapati, ramai penduduk ambil kesempatan untuk keluar kerana hujan, (kerana) mereka fikirkan mungkin SJR tidak dilaksanakan dan sebagainya. Tetapi, kita akan teruskan walaupun hujan," katanya.
Beliau berkata, meskipun terdapat beberapa daerah di negeri ini sedang mengalami musibah banjir dan cuaca buruk, ia tidak menghalang penugasan SJR untuk memastikan PKP terus dipatuhi orang ramai.
"Pada kali ini, kami tak akan berkompromi lagi, tak akan tolak ansur. Kita nak landaikan COVID-19 yang melanda negeri Sabah dan keseluruhan Malaysia.
"Setakat ini tiada, tiada yang mengganggu, jadi kita teruskan juga apa saja. Ini tanggungjawab yang telah diberikan kepada kami, (dan) kami akan laksanakan.
"Untuk maklumat semua, banjir telah terkawal, cuma tinggal lapan daerah lagi yang terjejas, Penampang telah tutup sepenuhnya hari ini," katanya lagi.
Hazani berkata demikian selepas ditemui dalam majlis penyerahan bantuan bekalan makanan dan peralatan perlindungan diri (PPE) oleh syarikat korporat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di Kota Kinabalu, pada Selasa.
Majlis berkenaan dihadiri oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim yang menyerahkan bentuk sumbangan terbabit kepada polis untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan di negeri ini.
Untuk rekod, banjir di Sabah melibatkan lapan buah daerah, di antaranya Kota Belud, Beaufort, Tuaran dan Papar.
#PKP #perintah kawalan pergerakan #rentas daerah #rentas sempadan #Pesuruhjaya Polis Sabah #Hazani Ghazali #prosedur operasi standard #SOP #Sekatan Jalan Raya #SJR
;