PKP 2.0: Aktiviti sukan persendirian termasuk golf, badminton, gimnasium dibenarkan bermula esok

Astro Awani
Februari 11, 2021 19:02 MYT
Kerajaan bersetuju membenarkan beberapa aktiviti sukan setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal MKN. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju membenarkan beberapa aktiviti sukan termasuk golf dan gimnasium diadakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain itu, joging atau brisk walking, berbasikal dan senaman yang terhad kepada dua orang turut dibenarkan dengan syarat dilakukan dalam kawasan kejiranan sahaja.
Selain itu, turut dibenarkan, tenis, badminton, ping pong (acara perseorangan sahaja), permotoran (dua roda dan empat roda) serta aktiviti latihan kemahiran kendiri seperti bola sepak, bola keranjang, hoki dan sepak takraw boleh dilakukan secara latihan kemahiran kendiri (tanpa aktiviti bersentuhan).
Selain itu, juga dibenarkan aktiviti perseorangan di gimnasium dan selain permainan golf.
"KBS (Kementerian Belia dan Sukan) juga telah mengemukakan permohonan untuk membenarkan beberapa lagi aktiviti sukan khususnya yang bersifat individu serta tanpa sentuhan bagi tujuan kecergasan diri, penjagaan kesihatan individu dan peningkatan kemahiran kendiri serta kelangsungan industri sukan negara," katanya dalam sidang media pada Khamis.
Selain itu, penggunaan fasiliti sukan dan rekreasi komersial hendaklah secara penjadualan atau tempahan dan walk-in tidak dibenarkan, katanya.
Berikut antara Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi aktiviti sukan dibenarkan:
SOP am sukan badminton, tenis, ping pong
• Kebenaran hanya bagi acara PERSEORANGAN sahaja.
• Hanya 30 peratus individu yang dbenarkan berada di dalam premis.
• Dilarang berkongsi peralatan seperti raket dan bat.
• Memastikan pematuhan SOP yang ditetapkan pada setiap masa
SOP am gimnasium
• Penjarakan fizikal 1 hingga 3 meter (aktiviti statik) dan 3 hingga 5 meter (aktiviti dinamik).
• Hanya 30 peratus individu yang dbenarkan berada di dalam premis.
• Jarak susunan peralatan sekurang-kurangnya 2 meter.
• Peralatan yang dikongsi dibersihkan dan dinyahkuman selepas setiap kali penggunaan.
• Kelas latihan berkumpulan tidak dibenarkan.
• Penggunaan bilik persalinan/ bilik mandi adalah dilarang.
SOP am golf
• Penggunaan SATU buggy untuk SATU orang sahaja.
• Pemakaian pelitup muka dan sarung tangan oleh kedi sepanjang masa.
Driving range dibenarkan dengan mematuhi protokol pengurusan.
• Dilarang berkongsi peralatan golf.
• Penggunaan bilik persalinan/ bilik mandi adalah dilarang.
• Pastikan tidak bersalaman / bersentuhan dan kurangkan interaksi sosial.
• Kemudahan club house adalah dilarang.
Sehingga kini semua jenis sukan dan aktiviti rekreasi yang melibatkan sentuhan, masih lagi dilarang.
SOP terperinci boleh dirujuk di laman sesawang KBS dan MKN.
Pematuhan SOP turut akan dipantau oleh pasukan sukarelawan yang ditubuhkan atas inisiatif KBS iaitu Rakan Muda Sports Bubble Volunteers.
#ismail sabri yaakob #SOP #KBS #sukan #operasi #kerajaan #joging #Brisk Walk #basikal #bola sepak #golf #gimnasium #PKP #senaman #tenis #badminton
;