PKP: 10 kaunter PPZ-MAIWP dibuka seperti biasa
Bernama
Januari 14, 2021 21:33 MYT
Januari 14, 2021 21:33 MYT
KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) memaklumkan 10 kaunternya beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 26 Jan depan.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Ahmad Shukri Yusoff berkata waktu operasi kaunter bermula jam 8.15 pagi hingga 4.45 petang setiap Isnin hingga Khamis manakala pada Jumaat, jam 8.15 pagi hingga 12.30 tengah hari dan 2.30 petang hingga 4.45 petang.
Sementara pada hari Sabtu (minggu kedua, empat dan lima), kaunter dibuka bermula jam 8.15 pagi hingga 12.45 tengah hari.
"Urusan bayaran zakat adalah seperti biasa (akad dan doa) tanpa berjabat tangan bagi mengelakkan sebarang sentuhan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kaunter tersebut ialah di Shamelin, Cheras; Plaza Rah Kampung Baru; Masjid Negara; Kuala Lumpur Suburban Center, Wangsa Maju; Taman Tun Doktor Ismail; Kepong; UTC Pudu Sentral di Kuala Lumpur serta Presint 9 dan Presint Diplomatik di Putrajaya selain di Labuan.
Orang ramai disaran memilih saluran bayaran secara dalam talian melalui portal PPZ-MAIWP iaitu di www.zakat.com.my, Kaunter Zakat Digital, perbankan internet dan juga e-Wallet.
-- BERNAMA
#PPZ-MAIWP
#Pusat Pungutan Zakat
#Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
#kaunter
#perintah kawalan pergerakan
#PKP