PKOB urus bantuan kepada penduduk terjejas banjir di Yan

Bernama
Ogos 18, 2021 04:58 MYT
Fenomena kepala air mengakibatkan banjir kilat sekitar kaki gunung di Yan dan Merbok, 18 Ogos, 2021. --fotoBERNAMA
YAN: Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) sedang menguruskan bantuan segera berupa keperluan makanan dan barangan lain kepada penduduk terjejas akibat banjir susulan fenomena kepala air petang semalam.
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata bagi memudahkan urusan pengagihan bantuan dilakukan, penduduk terbabit disaran menghubungi pusat itu di daerah terlibat agar ia dapat segera disalurkan kepada mereka.
"Apa-apa kesulitan boleh menghubungi PKOB daerah yang dah diaktifkan," katanya kepada pemberita semasa meninjau keadaan banjir di sekitar daerah Yan malam tadi.
Beliau berkata daerah Kuala Muda turut terjejas akibat bencana itu yang melibatkan beberapa kawasan di Gurun dan Tupah.
Katanya terdapat sebuah keluarga terdiri daripada enam individu yang terkesan akibat banjir itu enggan berpindah kerana kesemuanya positif COVID-19 dan Kementerian Kesihatan sedang memujuk mereka, yang tinggal di Tupah, Kuala Muda supaya berpindah ke tempat lain.
Bencana banjir yang berlaku pada kira-kira 5 petang menjejaskan penduduk di kaki Gunung Jerai dan kawasan berhampiran sungai iaitu Perigi, Teroi Bukit, Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Teras, Kampung Acheh dan Kampung Setoi dalam daerah Yan.
Tinjauan Bernama di beberapa lokasi mendapati kebanyakan rumah penduduk di Yan rosak akibat dinaiki air selain terdapat jambatan yang musnah manakala jalan raya rosak teruk.
-- BERNAMA
#PKOB #Yan #banjir #kepala air #fenomena kepala air #bencana Gunung Jerai #gunung jerai #Muhammad Sanusi Md Nor #Menteri Besar Kedah #Pusat Kawalan Operasi Bencana #bantuan #makanan #barangan #pindah #jalan raya rosak #jambatan musnah
;