PKNS teliti semula penamatan kontrak 12 kakitangan PHSB

Bernama
Januari 14, 2015 23:00 MYT
Kumpulan 19 kakitangan kontrak PHSB itu dipecat dengan notis 24 jam tanpa sebab munasabah. - Gambar Fail
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan meneliti semula penamatan kontrak 12 daripada 19 kakitangan PKNS Holdings Sdn Bhd (PHSB) yang dibuat pada Februari tahun lepas.
Ini diputuskan pada mesyuarat anggota perbadanan itu yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Mohamed Azmin Ali pada Khamis lepas, menurut Pengurus Perhubungan Awam PKNS Ishak Hashim dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Beliau berkata pihak pengurusan PKNS akur dengan arahan tersebut dan memutuskan untuk melakukan siasatan lebih terperinci berhubung proses serta tata cara penamatan kontrak kakitangan berkenaan.
Katanya, tiga daripada 19 kakitangan itu kini berkhidmat di PKNS dan anak syarikat perbadanan tersebut bersesuaian dengan kelayakan dan keperluan kedua-dua pihak.
"PKNS juga sedang menjalankan proses temuduga empat lagi bekas kakitangan PHSB bagi mengisi kekosongan pada mana-mana anak syarikat PKNS mengikut keperluan.
"Namun, nasib 12 lagi bekas kakitangan PHSB sedang diteliti perbadanan yang bercadang untuk menyelesaikannya di luar mahkamah," katanya.
Kumpulan 19 kakitangan kontrak PHSB itu dipecat dengan notis 24 jam tanpa sebab munasabah.
PKNS pada ketika itu dilapor menyatakan tindakan berkenaan dilakukan sebagai satu operasi penyusunan semula organisasi sumber manusia bagi mengelakkan pertindihan tugas.
#Ishak Hashim #Menteri Besar Mohamed Azmin Ali #Pengurus Perhubungan Awam PKNS #PHSB #PKNS Holdings Sdn Bhd