Sejak penubuhannya hampir 50 tahun lepas, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berjaya membina 155,090 unit rumah dan 85 peratus daripadanya kos sederhana dan rendah.

Secara terperinci, sehingga 31 Mac 2014, PKNS membina 58,752 unit (30 peratus) rumah kos rendah, 72,771 unit (47 peratus) unit rumah kos sederhana dan 23,567 unit (15 peratus) rumah kos tinggi.

Pembinaan rumah-rumah itu juga melihat kemunculan bandar-bandar seperti Shah Alam, Petaling Jaya, Bangi, Ampang, Ulu Klang dan Kota Damasara.

Menurut Pengurus Besar PKNS, Azlan Md Alifiah, pelaksanaan projek perumahan PKNS menjadi teras program Kerajaan Negeri Selangor merealisasikan agenda "Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor".


Rumah mampu milik

Pembinaan rumah mampu milik khusus untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana kini menjadi tumpuan PKNS.

Ia adalah pemerhatian serta kajian PKNS yang mendapati perumahan kos rendah yang ada rata-ratanya kurang selesa dan kawasan persekitaran tidak diselenggara dengan baik.

"Projek rumah mampu milik kami bertujuan membantu rakyat Selangor khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman sendiri pada harga yang berpatutan.

"Rumah mampu milik ini yang kami jenamakan Rumah Selangorku Idaman PKNS disubsidi menerusi projek komersial atau rumah kos tinggi kami", katanya kepada Bernama dalam wawancara di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Beliau lalu menggesa penduduk negeri Selangor yang belum memiliki rumah dan mahu memiliki rumah mampu milik PKNS perlu berdaftar dengan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS).

Pendaftaran, katanya, boleh dibuat sama ada pergi ke pejabat atau secara dalam talian.

Menurut Azlan, LPHS mengawal sepenuhnya penawaran rumah mampu milik PKNS.

Pemilihan pembeli, katanya berdasarkan markah yang dijana secara automatik melalui Sistem Pendaftaran Permohonan Rumah Mampu Milik.

Kriteria yang diambil kira ialah pendapatan bulanan isi rumah, tanggungan, kediaman sekarang dan taraf perkahwinan, umur, negeri tempat lahir, tempoh bermastautin di Selangor, Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas dan tempoh pendaftaran.

"PKNS hanya menerima senarai nama pemohon daripada LPHS yang telah diperakukan Jawatankuasa Pemilihan Senarai Nama Pembeli Rumah Mampu Milik", katanya.


Beri keselesaan

Selaras dengan wawasan PKNS "Membina komuniti, Memperkasa Kehidupan dan Merealisasi Impian", agensi itu mengambil kira beberapa faktor utama sebelum melaksanakan satu-satu projek perumahan mampu milik.

Faktor itu ialah pendapatan isi rumah, pelbagai keperluan sosial serta peringkat demografi atau kependudukan untuk menghasilkan kejiranan yang terancang, selesa dan dilengkapi kemudahan lengkap.

Menurut Azlan, bagi memenuhi matlamat menyediakan satu keluarga satu kediaman, Kerajaan Negeri Selangor meluluskan Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangor pada 13 Nov 2013.

"Pemaju seperti PKNS perlu mematuhi dasar ini dalam menyediakan perumahan mampu milik di Selangor.

"Dasar ini turut menetapkan dengan jelas kawasan yang dikategorikan mengikut zon, komponen serta harga jualan", jelas beliau.


Perancangan PKNS

Dalam tempoh yang ditetapkan iaitu antara 2008 hingga 2031, PKNS menyasarkan pembinaan sebanyak 31,000 unit rumah mampu milik di seluruh Selangor.

Mengikut pecahannya, sebanyak 1,977 unit yang akan disiapkan pada 2008 hingga 2014 sementara 10,895 unit pada 2014-2020 dan bakinya 18,128 unit pada 2021-2031.

PKNS juga dijangka memberi subsidi antara RM30,000-RM100,000 untuk setiap unit rumah mampu milik yang dibina.

Secara keseluruhannya, ia membelanjakan antara RM1 bilion hingga RM3 bilion sebagai subsidi untuk rumah mampu milik itu.

Ini memandangkan harga rumah yang ditawarkan lebih rendah daripada pasaran iaitu antara RM42,000 sehingga RM250,000 kerana menepati kos yang ditetapkan oleh dasar kerajaan negeri.

Menurut Azlan, kos subsidi dijangka meningkat tahun hadapan apabila kerajaan melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP).

"Kos pembinaan kita akan naik sekitar empat peratus dan kita tidak boleh caj rumah kediaman. Sebagai pemaju kita kena tanggung", jelasnya.

Projek yang dirancangkan ini meliputi pusat pertumbuhan baru PKNS iaitu Bandar Baru Bangi, Antara Gapi, Kota Puteri, Taman Sains Selangor 2 (SSP2), Bernam Jaya dan sebahagian kawasan Gombak dan Seksyen U12 (Shah Alam).

"Projek pembangunan dibuat berdasarkan konsep baru iaitu KASIH PKNS yang memberi penekanan kepada persekitaran lestari dan holistik untuk isi rumah.

"KASIH PKNS adalah akronim yang membawa maksud Kehidupan Aman Selesa Indah (dan) Harmoni", kata Azlan.

Perumahan KASIH PKNS, katanya dilengkapi beberapa kemudahan awam seperti pusat tuisyen komuniti dan pusat jagaan kanak-kanak.


Komponen rumah

Terdapat empat jenis rumah mampu milik mengikut ketetapan Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangor.

Bagi pendapatan bulanan isi rumah tidak melebihi RM3,000, mereka berpeluang membeli Rumah Selangorku jenis A berharga RM42,000 dengan keluasan kira-kira 65 meter persegi (700 kaki persegi).

Untuk pendapatan bulanan isi rumah tidak melebihi RM6,000, rumah yang boleh dipohon Rumah Selangorku jenis B berharga RM100,000 dengan keluasan anggaran 69 meter persegi (740 kaki persegi).

Kategori pendapatan bulanan isi rumah tidak melebihi RM6,000 ini juga boleh memohon Rumah Selangorku jenis C dengan keluasan antara kira-kira 74 meter persegi hingga 84 meter persegi (antara 800 kaki persegi dan 900 kaki persegi).

Harga-harga rumah tersebut dalam lingkungan RM150,000, RM180,000 dan RM200,000.

PKNS turut menawarkan Rumah Selangorku jenis D untuk pendapatan bulanan isi rumah tidak melebihi RM8,000 dengan keluasan anggaran 93 meter persegi (1,000 kaki persegi) dan 111 meter persegi (1,200 kaki persegi) pada harga antara RM220,000 hingga RM250,000.


Syarat layak

Untuk memastikan pengagihan adil rumah mampu milik ini, LPHS menetapkan beberapa syarat untuk mereka yang berminat untuk membelinya.

Antaranya warganegara Malaysia, berumur 18 tahun ke atas, pendapatan bulanan isi rumah tidak melebihi had yang ditetapkan bagi setiap kategori rumah dan pemohon (suami/isteri) tidak mempunyai sebarang jenis rumah kediaman di Selangor.

Menurut Azlan, mereka yang memiliki rumah kos rendah selama lima tahun ke atas boleh memohon rumah mampu milik PKNS sebagai rumah kedua.

Bagaimanapun, katanya, ini tertakluk kepada syarat had kelayakan pendapatan pembelian rumah mampu milik.

"Kami juga memberi kelonggaran kepada pemohon bujang yang mempunyai tanggungan keluarga untuk memohon rumah mampu milik ini", tambahnya.

Beliau mengingatkan bahawa pembelian rumah mampu milik adalah untuk didiami dan bukan untuk disewakan serta pindah milik hanya dibenarkan selepas tempoh lima tahun.


Antara projek rumah mampu milik

PKNS setakat ini melaksanakan beberapa projek rumah mampu milik.

Projek di Bukit Botak yang kini dikenali sebagai Selayang Mutiara melibatkan pembinaan unit kediaman berkembar sebanyak 1,422 unit.

Projek yang siap pada penghujung Disember 2012 ini khusus untuk menyelesaikan masalah setinggan Bukit Botak.

Bagi menampung keperluan penduduk setinggan itu, PKNS membelanjakan sekitar RM80 juta subsidi untuk membolehkannya menjual unit rumah berkembar itu pada harga RM99,000 seunit.

"Ada sejumlah unit untuk ditawarkan kepada orang awam dan permohonan perlu dibuat melalui LPHS. Tawaran akan hanya dibuat selepas kami menyelesaikan segala urusan dengan penduduk setinggan", kata Azlan.

Projek rumah mampu milik yang lain melibatkan pembinaan 124 unit pangsapuri enam tingkat di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi dan siap sepenuhnya pada September 2014.

PKNS menyediakan empat unit tingkat bawah untuk OKU dan warga emas untuk memudahkan pergerakan mereka.

Antara kemudahan yang disediakan ialah surau, dewan komuniti, pusat tuisyen, tadika, bilik bacaan serta kawasan lapang untuk rekreasi. Pangsapuri ini juga dilengkapi dengan lif.

Turut dalam perancangan PKNS ialah pembinaan sebanyak 5,328 unit townhouse di atas tapak seluas kira-kira 26 hektar di Seksyen 9, Kota Puteri berhampiran Ijok.

Menurut Azlan, sebuah kawasan setinggan, Kampung Seri Temenggung berhampiran Seri Gombak akan turut dibangunkan dengan pembinaan pangsapuri.

Harga pangsapuri dijangka dijual kepada penduduk setinggan pada harga RM65,000 berbanding harga pasaran RM150,000.


Pemaju lestari

Dalam melaksanakan program pembangunan di Selangor, PKNS mengguna pakai konsep pembangunan yang lestari dan hijau.

Menurut Azlan, bermula daripada awal penubuhan PKNS pada 1964 sehingga tahun ini, PKNS telah menanam di sekitar kawasan bandar dan perumahan sebanyak sejuta pokok.

"Shah Alam adalah contoh terbaik dari segi pembangunan. Banyak kawasan hijau dan kami akan terus menjadi pemaju lestari", katanya.

Beliau berkata, dengan bank tanah sekitar 2,428 hektar, PKNS akan terus memberi fokus kepada aktiviti pembinaan rumah di lokasi yang pada masa ini kurang diberi tumpuan iaitu bahagian utara (Kuala Selangor) dan selatan (Semenyih) negeri Selangor.

"Untuk sebarang pembangunan kita akan tengok dulu potensi lokasi dan kita tidak perlu bangunkan kawasan itu serentak.

"Pada 1 Ogos lepas adalah sambutan ulang tahun ke-50 tahun PKNS dan kami berharap PKNS yang kini entiti RM5 bilion akan terus beroperasi untuk tempoh 50 tahun akan datang", katanya. - BERNAMA/ Melati Mohd Ariff dan Sakini Mohd Said