PKNS kembalikan tradisi lebih 2 dekad, edar 4,000 bubur lambuk percuma
Bernama
April 6, 2022 09:40 MYT
April 6, 2022 09:40 MYT
SHAH ALAM: Selepas terhenti selama dua tahun ekoran penularan wabak COVID-19, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kembali meneruskan tradisi dua dekadnya dengan mengedarkan 4,000 bungkus bubur lambuk 'legend' Kampung Baru secara percuma kepada pengunjung Kompleks PKNS di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata agihan makanan itu adalah usaha sama di antara PKNS dan Koperasi PKNS Berhad.
Beliau berkata pemberian 4,000 bungkus bubur lambuk yang didatangkan khas dari Kampung Baru, Kuala Lumpur itu melibatkan kos berjumlah RM30,000.
"Setiap tahun PKNS membuat pengedaran bubur lambuk, kecuali dua tahun sebelum ini. Ia adalah satu tradisi yang telah berjalan berpuluh tahun.
"PKNS sangat menghargai para pelanggan kami, oleh itu, kami mengambil peluang ini untuk kembali berkongsi rezeki bersama para pelanggan yang menjadikan Kompleks PKNS dan SACC Mall sebagai pilihan utama mereka untuk mendapatkan juadah berbuka dan kelengkapan Hari Raya," katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Selain itu Mahmud berkata pihaknya juga akan meneruskan aktiviti berbuka puasa bersama anak yatim dan asnaf pada tahun ini.
Di samping program edaran bubur lambuk itu, orang ramai boleh berkunjung ke Cahaya Festira 2022, iaitu program jualan yang diadakan serentak di Kompleks PKNS Shah Alam, SACC Mall dan Kompleks PKNS Bangi, dengan pembabitan lebih 500 gerai jualan yang mempromosikan pelbagai kelengkapan dan juadah hari raya.
-- BERNAMA