PKNS bangunkan kuarters berpusat untuk pekerja migran

Bernama
Jun 28, 2023 04:00 MYT
PKNS berkata Laman Lestari akan mempunyai kapasiti untuk menempatkan 5,712 individu, dengan maksimum 17 penghuni seunit.
SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan membangunkan Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) di Bandar Sultan Suleiman, Klang, sekali gus memantapkan komitmen negeri untuk memupuk persekitaran hidup yang berkualiti dan mampan bagi pekerja migran di Selangor.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, PKNS berkata kuarters itu berkeluasan 1.76 hektar (4.35 ekar) di bawah pembangunan Laman Lestari, dianggarkan siap dalam tempoh tiga tahun dengan tarikh penyerahan ditetapkan pada 2024 dan sijil siap diperoleh dijangka pada 2028.
Menurutnya, unit-unit berkenaan akan dilengkapi dengan kemudahan asas seperti lampu, kipas, dapur elektrik, meja dan kerusi, katil, tilam, bantal, dan loker.
"Setiap unit dalam CLQ terdiri daripada tiga bilik, satu bilik mandi dan ruang makan khusus. Selain itu, pembangunan itu akan turut menyediakan pelbagai kawasan umum, termasuk medan selera, surau dan ruang terbuka yang luas untuk aktiviti dalaman," kata kenyataan itu.
PKNS berkata Laman Lestari akan mempunyai kapasiti untuk menempatkan 5,712 individu, dengan maksimum 17 penghuni seunit. Projek itu dianggarkan menelan belanja RM120 juta.
Demi mengutamakan kebajikan pekerja migran ini, kesemua unit CLQ akan disewakan dengan anggaran yuran bulanan berjumlah RM350 seorang.
Majlis pecah tanah itu diadakan pada 26 Jun dan dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
--BERNAMA
#PKNS #Amirudin Shari #pekerja migran #CLQ
;