PKB hanya bertindak sebagai fasilitator dalam pembangunan semula Kampung Sungai Baru

Bernama
Ogos 30, 2021 06:27 MYT
PKB hanya bertindak sebagai fasilitator bagi membantu melancarkan pelaksanaan pembangunan semula Kampung Sungai Baru, Kampung Baru. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) hanya bertindak sebagai fasilitator bagi membantu melancarkan pelaksanaan pembangunan semula Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, di sini, selaras dengan fungsinya yang dinyatakan dalam Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (Akta 733).
PKB dalam kenyataannya memaklumkan pembangunan semula itu merupakan inisiatif kerjasama swasta antara pemilik tanah/petak dengan pemaju yang dikenali sebagai Ritzy Gloss Sdn Bhd.
"Perjanjian usaha sama tersebut adalah antara pemilik tanah/petak dengan Ritzy Gloss Sdn Bhd dan PKB tidak dirujuk dalam mana-mana terma dalam perjanjian tersebut.
"Oleh yang demikian, perjanjian tersebut merupakan perjanjian yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak yang terlibat dan PKB tiada sebarang kepentingan dan pengetahuan ke atasnya," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memberitahu antara peranan PKB adalah pemudah cara dan membantu sesi libat urus pemilik tanah, membantu penyelesaian isu harta pusaka dengan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG), membantu proses penyempurnaan pindah milik strata, membantu perundingan isu-isu teknikal dan menguruskan pemantauan projek bersama pihak Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menurut PKB, pewartaan Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah, 1960 bagi projek tersebut telah diwartakan melalui Warta Kerajaan Persekutuan No. 9412 bertarikh 21 Jun 2021.
"Proses pengambilan tanah masih di peringkat siasatan oleh JKPTG Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Bagi lot atau petak yang terlibat dengan pengambilan tanah ini, bayaran pampasan yang munasabah dan mencukupi akan diberikan kepada pemilik dan pihak berkepentingan yang terlibat.
"Bayaran pampasan yang mencukupi adalah berdasarkan Jadual Pertama, Akta Pengambilan Tanah 1960 yang telah menggariskan prinsip-prinsip berhubung dengan penentuan pampasan," katanya.
Pada masa sama, PKB berharap agar projek pembangunan semula ini menjadi antara projek perintis dalam memajukan dan membangunkan semula Kampung Baru sekali gus menaik taraf kehidupan pemilik melalui hartanah secara menyeluruh dan bersepadu bagi memberi keselesaan kepada pemilik dalam menangani isu kemelesetan ekonomi, keusangan fizikal, tidak ekonomik dan memperbaiki persekitaran bandar.
Pada 26 Ogos lepas, sebuah akhbar melaporkan Pengerusi Persatuan Komuniti Sungai Baru, Syed Salehuddin Syed Abdullah mendakwa perjanjian pembangunan semula Kampung Sungai Baru samar dan berat sebelah antara punca 110 penduduk di kawasan itu menolak tawaran tersebut lima tahun lepas.
-- BERNAMA
#Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu #Kampong Bharu #DBKL #Kuala Lumpur #PKB #Kampung Sungai Baru
;