PJMKM berjalan lancar namun terdapat ruang penambahbaikan - Annuar
Bernama
September 11, 2022 17:42 MYT
September 11, 2022 17:42 MYT
KOTA KINABALU: Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa berkata setakat ini Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) berjalan lancar dan memuaskan namun masih ada ruang penambahbaikan yang boleh dilaksanakan.
Beliau berkata antara penambahbaikan yang boleh dilaksanakan adalah menambah jumlah kedai dan beberapa lagi perkara lain termasuk memperkemaskan tanda harga di setiap premis yang melaksanakan program berkenaan.
"Hari ini saya meninjau perlaksanaan program ini di salah sebuah pasar raya untuk melihat bagaimana ia dilaksanakan sama ada ia mengikut konsep yang sepertimana yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.
Secara keseluruhannya pelaksanaan di seluruh negara berjalan dengan baik dan kita berharap sasaran kita untuk melaksanakan di 639 premis dan 20 kampus dapat dicapai pada 15 Sept ini," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di pasar raya berkenaan di sini hari ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata pihaknya mahu program berkenaan dapat dilaksanakan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.
"Program ini boleh dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu...apa yang penting orang ramai tahu pelaksanaan program itu dan apa-apa barang yang ditawarkan potongan harga semasa ia dilaksanakan.
"Sehubungan itu kita telah bekerjasama dengan RTM (Radio Televisyen Malaysia) untuk membantu mempromosikan program ini kepada orang ramai agar mereka tahu tentang PJMKM," katanya.
Pada masa yang sama, Annuar berkata PJMKM boleh dilaksanakan di mana-mana sahaja sekiranya ada program yang dilaksanakan di kawasan itu.
"Contohnya wakil rakyat boleh membawa PJMKM di sesebuah kawasan ketika terdapat apa-apa majlis diadakan di situ...apa yang penting wakil rakyat berkenaan berbincang dahulu dengan pembekal," katanya.
-- BERNAMA