Piza durian Musang King dapur kayu, menu istimewa dua beradik

Bernama
Julai 5, 2021 09:41 MYT
Kemanisan isi durian Musang King yang digabungkan dengan keju, menjadi lebih enak apabila piza tersebut dibakar menggunakan dapur kayu. - Foto BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Harga durian jenis D197 atau lebih dikenali Musang King yang mahal, menyebabkan ia dianggap sangat eksklusif dan hanya mereka yang berkemampuan sahaja dapat menikmati keenakannya.
Namun idea kreatif Nur Hanani Ismail, 41, dan adiknya Ahmad Najib Ismail, 33, yang menghasilkan piza durian Musang King, memberi peluang kepada peminat raja buah itu untuk menikmati isi durian tersebut bersama roti piza, pada harga berpatutan.
Malah kemanisan isi durian Musang King yang digabungkan dengan rasa lemak-lemak masin keju, menjadi lebih enak apabila piza tersebut dibakar menggunakan dapur kayu, yang menghasilkan aroma asap.
"Menu piza durian musang king ini kami mulakan sejak tahun lepas, dan ia hanya dibuat pada musim durian. Kita tahu Musang King sangat mahal dan ramai yang tidak mampu membelinya. Jadi kami harap dengan adanya piza ini, pelanggan dapat juga merasai isi buah tersebut.
"Kami beli isi Musang King dalam bentuk pes daripada sebuah kilang di Raub, Pahang pada harga RM100 sekilo dan kami sejuk bekukan ia. Sekilo pes isi durian boleh menghasilkan kira-kira 30 keping piza," ketika ditemui Bernama di premisnya, Mystreet Pizza Kitchen, di Banggol Peradong dekat Manir, di sini.
Dalam pada itu katanya, selain menjadikan roti piza lebih lembut dan sedap, dapur kayu yang digunakan sejak awal tahun ini, membuatkan tempoh untuk membakar piza hanya antara satu hingga dua minit sahaja berbanding mesin ketuhar, yang mengambil masa enam hingga 10 minit.
"Saya memang sudah lama teringin untuk bakar piza dengan dapur kayu, dan pada penghujung tahun lepas saya 'backpacking' bersama rakan-rakan ke Dabong, Kelantan dengan kereta api, dan kami singgah di Jerantut, Pahang. Di Jerantut saya tengok ada satu kedai piza menggunakan dapur kayu. Sekembalinya ke Terengganu, saya terus mulakan proses membuat dapur kayu ini.
"Untuk memastikan piza lebih sedap, hanya kayu tertentu sahaja digunakan bagi membakar piza iaitu seperti kayu pokok rambutan, pokok duku dan pokok jambu, yang menghasilkan aroma tersendiri manakala kayu seperti pokok getah, membuatkan rasa piza kurang sedap," graduan lulusan Sarjana Sains Alam Sekitar daripada Universiti Putra Malaysia itu.
Nur Hanani berkata, sajian piza dapur kayunya menerima sambutan menggalakkan dan mampu terjual sehingga 250 keping sehari, termasuk jualan piza durian musang king iaitu sehingga 30 keping sehari, yang dijual pada harga RM12 bagi saiz lapan inci manakala RM20 bagi saiz 11 inci.
Mystreet Pizza Kitchen turut menyediakan menu piza daging salai, yang juga adalah menu istimewanya, di samping menu lain seperti piza 'meatball' (bebola daging), dan piza keju yang dijual antara RM10 hingga RM20 mengikut jenis dan saiz.
Mula menjual piza dari rumah pada 2012 oleh Ahmad Najib, dua beradik itu kini mempunyai enam pekerja dan dibantu tiga lagi rakan mereka, bagi memastikan kelancaran proses pembuatan piza dan memenuhi permintaan pelanggan.
"Kami juga mempunyai dua kiosk Mystreet Pizza Kitchen iaitu di Losong di sini dan di Wakaf Tembesu di Kuala Nerus, yang kedua-duanya diasaskan oleh adik saya (Ahmad Najib) pada 2012," kata bekas penjawat awam yang menyertai perniagaan piza tersebut pada 2015.
Beliau menambah, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mystreet Pizza Kitchen hanya membenarkan pelanggan untuk membungkus piza dan perkhidmatan penghantaran turut disediakan kepada pelanggan, di sekitar Kuala Terengganu.
-- BERNAMA
#durian #Musang King #piza #keju #dapur kayu
;