Pisau masih tercucuk di leher, wanita maut dipercayai ditikam suami

Dewi Nur Harasha Alias
Disember 16, 2019 05:48 MYT
Mayat Yoon Hati Htike ditemukan dengan pisau masih tercucuk di leher di dalam bilik tidur unit kondominium yang disewanya. -Foto PDRM
Seorang wanita warga Myanmar maut dipercayai ditikam suami sendiri dalam kejadian di tingkat 19 Kondominium Park View Harbour Palace, di sini.
Mayat wanita berusia 29 tahun itu ditemukan dalam keadaan dibaluti selimut dengan pisau masih tercucuk di leher oleh polis yang memecah masuk bilik tidur pada jam 10.30 malam Isnin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata mangsa Yoon Hati Htike, 29, yang bekerja sebagai pembantu klinik dikesan hilang selepas tiga hari tidak datang ke tempat kerja sebelum majikannya membuat laporan polis pada petang Isnin.
"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati terdapat kesan tikaman dengan pisau masih lagi terlekat di leher mangsa.
"Polis percaya mangsa telah meninggal dunia sejak 13 hari bulan lalu," kata Noorzainy.
Tambah Noorzainy, berdasarkan laporan dibuat majikan mangsa, pekerjanya itu pernah memberitahu bahawa dia mengalami masalah rumah tangga.
"Kali terakhir pengadu berjumpa si mati pada 13 Disember, 10.30 malam.
"Mangsa beritahu dia ada masalah rumah tangga... suaminya pernah ugut bunuh dan pengadu menasihatkan mangsa supaya buat laporan polis," katanya lagi.
Berdasarkan pemeriksaan awal, pihaknya percaya mangsa sudah tiga hari meninggal dunia berdasarkan keadaan mayat.
Siasatan juga mendapati mangsa sudah empat bulan menyewa di rumah berkenaan dan tinggal di situ bersama suaminya.
Berikutan penemuan mayat, polis kini sedang mengesan suami mangsa dikenali sebagai Mohammad Noor Lal Miah, 29, bagi membantu siasatan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya boleh menghubungi balai polis berhampiran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
#ditikam suami #Kondominium Park View Harbour Palace #Mohammad Noor Lal Miah #Noorzainy Mohd Noor #pembantu klinik #Yoon Hati Htike
;