Pintu tren KLIA Transit rosak, penumpang terkandas sejam
Sinar Harian
Mac 16, 2018 14:58 MYT
Mac 16, 2018 14:58 MYT
Sebuah tren KLIA Transit menuju ke KL Sentral mengalami kerosakan pintu dan penumpang terkandas kira-kira satu jam di Stesen ERL Putrajaya/Cyberjaya, di sini, hari ini.
Seorang penumpang yang mahu dikenali sebagai Noor, 33 tahun, berkata, dia berada di dalam tren itu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dan sampai ke Stesen ERL Putrajaya/Cyberjaya, kira-kira jam 7.50 pagi.
Bagaimanapun katanya, tren itu tidak bergerak selepas 10 minit dan pengumuman dibuat memaklumkan kepada penumpang bahawa terdapat masalah teknikal pada tren berkenaan.
“Semua penumpang menunggu di dalam tren. Ada yang menunggu di luar kerana tren sesak dan lembap.
“Kemudian kami dimaklumkan bahawa ada tren lain yang turut mengalami kerosakan. Penumpang dari tren berkenaan dipindahkan ke tren kami. Perkhidmatan disambung semula jam 8.45 pagi,” katanya.
Sementara itu, KLIA Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) dalam satu kenyataan berkata, tren KLIA Transit pada jam 7.16 pagi menuju ke KL Sentral mengalami kerosakan pintu dan semua perkhidmatan dari stesen terminal dihentikan sementara.
Katanya, ERL memulakan perkhidmatan gabungan untuk kedua-dua perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit, bermula jam 9 pagi.
“Kedua-dua perkhidmatan telah menyambung semula operasi biasa mulai jam 9.30 pagi. Pelepasan pertama untuk KLIA Transit dari KL Sentral pada jam 9.33 pagi dan 9.40 pagi untuk KLIA Ekspres.
“Dari KLIA2, perjalanan biasa untuk KLIA Ekspres adalah pada jam 9.35 pagi dan KLIA Transit jam 9.48 pagi,” kata kenyataan itu.
ERL turut memohon maaf atas kesulitan yang berlaku itu.