Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membuka rezeki buat seorang ibu tunggal untuk menerima lebih banyak tempahan baju raya.

Menurut Suhaida Mohd Suhaidi, sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, tempahan yang diterimanya sedikit berkurang seperti kelazimannya.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, pada mulanya dia agak bimbang dengan situasi itu kerana pendapatannya hanya bergantung kepada menjahit sahaja.

Bagaimanapun selepas PKPB mula dilaksanakan (mulai 4 Mei), tempahan untuk baju raya semakin meningkat dan ia sekali gus melegakan hatinya untuk menampung perbelanjaan mereka sekeluarga.

“Sebelum PKP memang tempahan baju banyak. Memang kita jangka dalam 300 pasang. Oleh sebab PKP, orang tidak hantar, mungkin sebab kedai belum dibuka.

“Tetapi dalam minggu ini, kebetulan kedai membuka tempahan, memang ada semula tempahan yang masuk,” katanya.



Suhaida berkata, ada juga permintaan tempahan yang diterima selepas PKPB yang terpaksa ditolak kerana bimbang tidak mampu disiapkan untuk dipakai pelanggannya pada pagi Syawal.

Jelasnya, ada sebahagian pelanggannya yang berada di luar dan tidak dapat pulang bercuti untuk menyambut Hari Raya di kampung.



Oleh itu, Suhaida yang beroperasi dari kediaman orang tuanya di Kampung Pak Katak, di sini, berkata, dia terpaksa menggunakan perkhidmatan Pos Laju untuk menghantar tempahan yang sudah siap.

“Kalau diikutkan, tahun ini ramai yang tidak boleh balik, jadi terpaksalah kita pos. Memang sasarannya, pelanggan akan balik kampung, tetapi kerana PKP terpaksa pos.

"Ada antara mereka yang di Perak, ada di Kuala Lumpur, kena pos dalam minggu ini juga,” katanya.

Suhaida yang telah 15 tahun mencari rezeki dalam bidang jahitan berkata, setiap tahun dia akan menyiapkan 300 pasang baju raya dan meraih pendapatan kira-kira RM10,000.