Pintu rahsia dalam tandas pusat hiburan jadi tempat sembunyi PATI

Aida Aziz
Ogos 4, 2024 07:45 MYT
Seramai 11 PATI ditemui bersembunyi di dalam bilik rahsia di sebuah pusat hiburan di Kinta. - Gambar/ JIM
IPOH: Penguat kuasa Jabatan Imigresen menemui pintu rahsia dalam tandas sebuah pusat hiburan di sini, yang menjadi laluan ke tempat persembunyian pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika serbuan pihak berkuasa.
Menurut Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik, pihaknya terpaksa mengumpil pintu rahsia yang ada di tandas itu bagi mengeluarkan 11 PATI.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya menjankan serbuan di dua pusat hiburan sekitar Kinta pada awal pagi Ahad dan berjaya menahan 53 PATI berusia antara 18 hingga 45 tahun.
Katanya, serbuan Ops Gegar itu dibuat berdasarkan aduan dan risikan dijalankan Unit Risikan dan Operasi Jabatan Imigresen Negeri Perak di semua premis tersebut.
"Operasi bermula jam 1.30 pagi dan tamat 6 pagi pada Ahad. Seramai 26 pegawai termasuk polis telah memeriksa 175 warganegara asing dan tempatan.
"Seramai 53 orang warga asing ditahan kerana dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"Kesemua mereka yang ditahan adalah terdiri daripada 25 wanita warga China, 16 wanita Vietnam, seorang wanita Thailand, seorang wanita Indonesia dan 10 lelaki Bangladesh," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Meor Hezbullah berkata, kesemua mereka ditahan di Depot Imigresen Ipoh bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di Malaysia tanpa
pas yang sah.
Selain itu, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama iaitu telah berada di Malaysia selepas tamat tempoh pas sah dikeluarkan dan kesalahan di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas yang dikeluarkan.
#pati #GRO #warga asing #tempat sembunyi rahsia