Pintasan Bandar Baru Rawang dibuka tengah malam ini

Bernama
Ogos 4, 2020 18:41 MYT
Pintasan itu terletak di Jalan Pintas Bandar Rawang berhampiran pusat bandar. -Bernama
Penantian hampir sedekad bagi pengguna Jalan Bandar Rawang yang merupakan jalan utama ke ibu kota akan berakhir pukul 12 tengah malam ini apabila laluan Pintasan Bandar Baru Rawang dibuka kepada awam.
Pintasan itu terletak di Jalan Pintas Bandar Rawang berhampiran pusat bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang Chua Wei Kiat berkata pembukaan pintasan yang telah siap dibina sekitar 2010 itu dijangka membantu mengurangkan kesesakan di pusat bandar yang menjadi rungutan mereka yang melalui kawasan itu.
"Selama ini Jalan Bandar Rawang hanya dibuka dari arah Kampung Datuk Lim Kim Sai manakala jalan menghala ke Kuala Lumpur ditutup atas isu teknikal seperti geografi tanah dan kedudukan pintu utama masjid berdekatan yang menimbulkan isu keselamatan.
"Pintasan ini dijangka membantu mengalihkan aliran trafik terutama kenderaan dari Bukit Rawang Jaya dan Hulu Selangor dengan pengguna jalan raya tidak lagi perlu masuk ke pusat bandar sebaliknya boleh terus menghala ke Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pintasan itu bersama Ahli Parlimen Selayang William Leong dekat sini, hari ini.
Beliau berkata isu teknikal yang menjadi halangan pembukaan pintasan itu diselesaikan menerusi beberapa sesi perbincangan dengan pelbagai pihak antaranya menukar lokasi pintu masjid yang terletak berhampiran laluan itu.
Chua berkata pintasan sepanjang kira-kira satu kilometer yang dimajukan oleh Mahumas Sdn Bhd dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor dan Jabatan Kerja Raya itu juga dijangka menjimatkan masa perjalanan sehingga 15 minit.
Selain memanfaatkan penduduk sekitar, pintasan itu juga bakal memudahkan pengguna dari arah Utara seperti di Perak, Hulu Selangor, Sungai Choh, Serendah dan Batang Kali.
Dalam perkembangan lain, Leong berharap projek naik taraf dan melebarkan Jalan FT3209 dari arah pusat bandar Rawang ke Batu Arang untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di depan Tol PLUS Rawang dapat disegerakan.
"Kerajaan terdahulu secara prinsip telah meluluskan peruntukan projek itu namun selari dengan pertukaran kerajaan, status sama ada ia diteruskan atau tidak masih menjadi tanda tanya," katanya.
-- BERNAMA
#Hulu Selangor #kerajaan #keselamatan #Kuala Lumpur #Parlimen #pintasan bandar baru rawang #PLUS #Selayang #tol
;