PINTAR Foundation perkenal 'STEMWorld'
Arief Subhan
Julai 5, 2017 13:45 MYT
Julai 5, 2017 13:45 MYT
Pembelajaran holistik adalah penting dalam membentuk insan berjasa kepada masyarakat.
PINTAR Foundation melalui satu inisiatif terbaharunya dengan pelancaran Unit Pembelajaran Bergerak (PMLU) bertemakan 'STEMWorld' bertujuan untuk menggalakkan pembelajaran luar bilik darjah berteraskan mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalathan, pendidikan yang berorientasikan pembelajaran dalam kelas perlu ditukar kepada konsep baharu yang membolehkan pelajar bertanya dan menimbulkan banyak persoalan.
"Untuk memastikan pendidikan STEM benar-benar didedahkan kepada pelajar, kaedah pengajaran pasif di dalam kelas perlu diubah menjadi pembelajaran aktif yang menekankan idea kreatif dan kemahiran berfikir aras tinggi," kata Kamalanathan.
Menurut Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah PINTAR Foundation Tan Sri Arshad Ayub, tiga aspek diberi penekanan dalam pembelajaran saintifik dan inovatif menjelang tahun 2020.
"Pertama, promoting intelligence atau promosi kebijaksanaan, memupuk bakat (nurturing talent) dan pembinaan sahsiah (advocating responsibility)," kata Arshad di majlis pelancaran STEMWorld di SK Taman Midah di sini hari ini.
Bas STEMWorld akan menjelajah ke 100 buah sekolah rendah di Semenanjung Malaysia dan mensasarkan 50,000 murid dua tahun ini.