Penasihat Khas Persatuan Penggiat Festival Antarabangsa (ALIFE), Rizal Kamal berkata, penggunaan dadah seperti ekstasi dalam konsert jarang sekali dikesan berlaku di Malaysia dan insiden tersebut tidak seharusnya menjadi alasan untuk menghukum keseluruhan sektor hiburan.
"Saya rasa penggantungan ini terlalu drastik dan tidak mencerminkan gambaran sebenar industri.
"Justeru tindakan menghukum atas insiden yang tidak mencerminkan keseluruhan industri ini bukan sahaja menghantar mesej yang salah tetapi juga memberi kesan negatif kepada semua pihak yang terlibat termasuk penganjur, artis, pekerja di belakang tabir dan pengunjung," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Ahad.
Rizal berkata, industri muzik menyumbang kepada ekonomi dan budaya negara.
"Justeru pendekatan yang lebih adil dan seimbang perlu diambil untuk menangani isu ini tanpa menjejaskan kelangsungan sektor ini," katanya lagi.
Menurutnya, konsert Electronic Dance Music (EDM) adalah berbeza berbanding konsert muzik lain seperti persembahan komedi atau muzik konvensional.
Sehubungan itu beliau menggesa pihak berkuasa untuk berunding dengan pakar industri bagi mencari penyelesaian yang lebih seimbang tanpa menjejaskan industri ini.