Pinjaman RM1.4 bilion kepada penjaja, pengusaha kecil elak hutang 'ah long'

Bernama
Oktober 15, 2023 11:59 MYT
Banyak kes berlaku, apabila penjaja meminjam wang daripada 'ah long' untuk modal bagi memulakan atau memajukan perniagaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kemudahan pinjaman perniagaan mikro Bank Simpanan Nasional (BSN) sebanyak RM1.4 bilion kepada penjaja dan pengusaha kecil menerusi Belanjawan 2024, mampu mengelakkan golongan itu terjerumus dengan kegiatan 'ah long' atau ceti haram.
Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia Prof Bany Ariffin Amin Noordin berkata kebanyakan kes berlaku, apabila penjaja meminjam wang daripada 'ah long' untuk mereka menjadikan ia modal bagi memulakan atau memajukan perniagaan.
"Contohnya, nak buka kedai memerlukan kos tinggi, jadi penjaja sekiranya mereka ke bank akan ada masalah seperti sukar mendapat pinjaman kerana tiada rekod bank, berpendapatan rendah dan ada yang tidak berpelajaran tinggi, jadi akhirnya mereka mencari 'ah long'.
"Meskipun 'ah long' mudah, percuma (prosesnya) dan cepat tapi risikonya tinggi. Sebaliknya dengan kemudahan pinjaman yang diperkenalkan ini akan menjadi serampang dua mata, penjaja boleh mulakan perniagaan dengan mudah dan pada masa sama tidak perlu mencari 'masalah' dengan 'ah long'," katanya kepada Bernama.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat Jumaat lepas, menyatakan sebanyak RM1.4 bilion disediakan di bawah pinjaman mikro BSN untuk membantu penjaja dan pengusaha kecil-kecilan menyediakan modal perniagaan, pembelian peralatan, premis serta pemasaran.
Bany Ariffin berkata golongan penjaja ketika ini, bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan kerana ramai yang memilih perniagaan itu selepas diberhentikan kerja dan memerlukan pendapatan tambahan, disebabkan kos sara hidup meningkat.
Sementara itu, Prof Madya Azwan Abdullah dari Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan, Universiti Malaysia Kelantan berkata peruntukan RM40 juta, disediakan bagi melaksanakan Program Shop Malaysia Online untuk menggalakkan peniaga kecil, khususnya dalam bidang makanan untuk berniaga dari rumah pula, mampu mengurangkan kebergantungan mereka menyewa premis dan menggajikan pekerja.
"Sepuluh tahun dulu nak berniaga mungkin perlu menyewa kedai yang memerlukan kos tambahan, tapi dengan kemudahan teknologi sekarang bukan halangan lagi perniagaan itu dapat dijanakan di rumah dan tanpa bergantung kepada majikan.
"Jadi, inisiatif ini selari dengan ekonomi gig yang secara langsung mampu memperkasakan ekonomi keluarga dan meningkatkan taraf sosial kehidupan masyarakat," katanya.
-- BERNAMA
#Belanjawan 2024 #pinjaman perniagaan mikro #BSN #Ah Long
;