Pinjaman persahabatan: Jovian diarah bayar RM10 juta kepada dua syarikat

Bernama
Julai 11, 2024 10:26 MYT
Jovian disaman secara berasingan oleh kedua-dua syarikat pada 16 Mei 2023 selepas didakwa gagal membayar semula wang RM5 juta yang dipinjamkan atas dasar pinjaman persahabatan. - Facebook Jovian Mandagie
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini telah memerintahkan pereka fesyen terkenal Datuk Jovian Mandagie untuk membayar RM10 juta kepada dua syarikat dalam kes saman membabitkan pinjaman persahabatan.
Berdasarkan dokumen yang diperoleh media hari ini, Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin membuat keputusan itu pada 2 dan 4 April selepas membenarkan permohonan Bina Pragmatik Sdn Berhad dan Cekap Air Sdn Bhd untuk memasukkan penghakiman terus terhadap Jovian.
Penghakiman terus diperoleh apabila mahkamah memutuskan kes melalui hujahan bertulis tanpa perbicaraan penuh dan memanggil saksi.
Bagaimanapun, Jovian telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu pada 30 April lepas.
Beliau disaman secara berasingan oleh kedua-dua syarikat pada 16 Mei 2023 selepas didakwa gagal membayar semula wang RM5 juta yang dipinjamkan atas dasar pinjaman persahabatan.
Pernyataan tuntutan menyatakan Jovian adalah kenalan kepada Pengarah Cekap Air iaitu Yong Zhen Wei dan Pengarah Bina Pragmatik iaitu Azirul Salihin.
Cekap Air mendakwa ia telah meminjamkan RM5 juta kepada Jovian atas permintaan lisan ahli perniagaan itu pada 25 Feb 2022 dengan memindahkan wang tersebut ke akaun pelanggan firma guaman yang mewakili pereka fesyen berkenaan.
Bina Pragmatik pula mendakwa ia telah meminjamkan RM5 juta kepada Jovian pada 25 Mac 2022 dengan memindahkan wang tersebut ke akaun pelanggan firma guaman yang sama.
Menurut kedua-dua syarikat, firma guaman itu mengesahkan penerimaan wang tersebut.
Kedua-dua plaintif berkata pinjaman persahabatan itu perlu dilunaskan dalam tempoh tidak melebihi 12 bulan.
Mereka mendakwa pinjaman itu diberi dan dilakukan secara lisan serta kasual kerana plaintif dan defendan adalah kenalan dan tidak ada sebab untuk meragui Jovian kerana beliau memiliki beberapa perniagaan lain.
Ketika itu, Jovian juga adalah menantu Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Bagaimanapun, kedua-dua plaintif mendakwa defendan telah memungkiri perjanjian pinjaman itu dan sehingga kini gagal membayar semula atau memulangkan kembali wang berkenaan menyebabkan mereka mengalami kerugian.
-- BERNAMA
#pinjaman persahabatan #Jovian Mandagie #mahkamah #RM10 juta #fail rayuan