'Pinjaman dibayar, rumah belum siap' - Pembeli rumah PR1MA Rantau
Rahimah Abdullah
April 6, 2019 16:56 MYT
April 6, 2019 16:56 MYT
Sekumpulan pembeli rumah PR1MA di Rantau menggesa pihak kementerian terlibat menyelesaikan isu pembinaan projek perumahan berkenaan yang didakwa masih terbengkalai.
Projek berkenaan sepatutnya siap sepenuhnya pada 31 Januari lalu.
Menurut salah seorang pembeli, Azeman Shah Zambri, pihak PR1MA dan pihak pemaju tidak menyatakan apakah sebab-sebab utama atau memberi respons kepada surat pertanyaan mereka yang mahu tahu mengapa projek berkenaan tidak dapat disiapkan.
“Yang kami tahu pihak pemaju di bawah kementerian tertentu dan telah dipindahkan kepada kementerian tertentu yang sepatutnya memberi respons kepada pihak kami. Projek ini bermula 2016 dan ada kalangan kami yang sudah tamat tempoh perjanjian jual beli (S&P) di mana ia dinyatakan Januari 2019 siap,” katanya semasa ditemui media di tapak projek PR1MA Rantau di Bandar Ekar di sini.
Malah pada September tahun lalu, mereka dimaklumkan bahawa projek berkenaan telah 50 peratus siap.
Namun apabila datang untuk melihat rumah mereka, ia tidak seperti yang dikatakan.
“Selain itu, bagi pinjaman kerajaan sukar sebab mereka terpaksa bayar jumlah pinjaman penuh namun rumah masih tidak siap.
“Setakat ini 50 peratus (pembeli) terjejas apabila tamatnya S&P itu. Ada pegawai kerajaan yang mula pindah, tapi oleh kerana tak siap, mereka terpaksa berulang jauh ke kawasan seperti Seremban dan Port Dickson,” tambahnya lagi.
Sementara itu, bagi seorang lagi pembeli, K. Thinesh, beliau kecewa kerana terbeban terpaksa membayar pinjaman perumahan dan pada masa sama terpaksa menyewa rumah.
“Rasa terbeban sebab saya nanti bulan depan akan jadi dua pembayaran. Saya harap siap secepat mungkin," ujarnya.
Malah mereka telah mengajukan perkara ini kepada pihak berkenaan namun belum ada sebarang maklum balas rasmi dibuat.
“Ada buat aduan tapi tiada maklum balas. Mereka pun tak bagi tarikh (bila siap),” jelasnya.
Justeru, mereka berharap projek perumahan PR1MA ini mendapat maklum balas pihak berkaitan dan pada masa sama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut campur tangan dalam isu berkenaan.
“Saya harap kementeri dapat memberi jawapan tepat dan rasmi. Berikan kami satu tarikh bila dapat siapkan rumah kami,” ujarnya.
#Azeman Shah Zambri
#DUN Rantau
#kementerian perumahan
#pembeli rumah PR1MA
#projek PR1MA Rantau
#Rantau Memilih