Pindah gajah ke lokasi lain tidak selesai masalah - MB Perak
Aida Aziz
Ogos 1, 2022 18:38 MYT
Ogos 1, 2022 18:38 MYT
IPOH: Kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak bagi menyelesaikan isu gajah liar yang kian meruncing, khususnya di Hulu Perak.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kaedah pemindahan gajah yang dilakukan sebelum ini dilihat tidak memberi penyelesaian tuntas, sebaliknya, menambahkan lagi bilangan haiwan itu di satu-satu lokasi.
Katanya lagi, insiden gajah liar menyerang penduduk atau pengguna jalan raya bukan perkara baharu kerana lokasi tersebut sememangnya habitat haiwan itu.
"Saya akan panggil Pengarah Perhilitan untuk bincang dan bagi pandangan kepada kita, apa cara terbaik (isu gajah liar).
"Dulu gajah ini banyak di tempat lain, tapi mereka pindah ke Temengor. Sekarang di sana pula banyak (gajah).
"Jangan pindahkan masalah kita kepada orang lain. Jadinya, pindahkan gajah ini bukanlah penyelesaian muktamad, mungkin ada jalan lain," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Program Bersama Bekas Tentera di Kompleks Komuniti Taman Perpaduan, Ulu Kinta, di sini, pada Isnin.
Saarani mengulas mengenai isu gajah liar yang menyerang seorang penduduk di Kampung Katong Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar Gerik, baru-baru ini.
Ditanya bila pertemuan itu akan diadakan, Saarani berkata, ia akan dilakukan dalam masa terdekat.
"Saya berharap Perhilitan akan ambil inisiatif untuk melihat cara bagaimana elakkan gajah ini datang mengganggu.
"Sebab kita tak boleh tiba-tiba menghantar orang yang bukan dalam bidang kuasanya halau gajah," kata Menteri Besar lagi.
Terdahulu,seorang wanita Orang Asli dilaporkan parah diserang gajah liar ketika mangsa sedang mencari buah durian di dusun berhampiran rumahnya.
Mangsa telah menerima rawatan awal di Klinik RPS Kemar dan dalam proses untuk dirujuk ke Hospital Gerik.