Pindaan SOSMA bukan dalam sidang Parlimen kali ini - Azis Jamman
Harits Asyraf Hasnan
Oktober 15, 2019 15:29 MYT
Oktober 15, 2019 15:29 MYT
Pindaan kepada Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak akan dibentangkan dalam persidangan Dewan Rakyat kali ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman berkata, pihaknya memerlukan masa untuk kajian terperinci dilakukan sebelum mengemukakan rang undang-undang pindaan terhadap akta itu.
"PH (Pakatan Harapan) dalam janji manifesto kami tahun lepas sudah berjanji untuk mengkaji semula beberapa aspek perundangan termasuk SOSMA.
"Namun, ianya tidak akan dibentangkan pada persidangan Parlimen kali ini. Beri kami masa," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian sewaktu diminta mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang meminta kerajaan menambah baik akta SOSMA tanpa perlu dimansuhkan.
Akta SOSMA menjadi pertikaian sebilangan pemimpin politik kerajaan susulan digunakan polis bagi tindakan penahanan 17 individu dikaitkan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP.