Pindaan Seksyen 39B ADB beri mahkamah alternatif jatuhkan hukuman - TPM
Bernama
November 29, 2017 17:28 MYT
November 29, 2017 17:28 MYT
Pindaan terhadap Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 akan memberi alternatif kepada mahkamah dalam menjatuhkan hukuman kepada pesalah dadah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata pindaan itu antara lain membolehkan hakim menjatuhkan hukuman sama ada gantung sampai mati atau penjara seumur hidup iaitu berbeza dengan akta sedia ada apabila mahkamah tidak ada pilihan dalam menghukum pesalah.
"Kita lihat akta sekarang menyebut bahawa hukuman gantung sampai mati itu adalah secara mandatori dan mahkamah tidak ada pilihan lain, sama ada gantung atau lepaskan (tertuduh).
"Ini merupakan satu alternatif yang terbaik dan memberikan pilihan kepada hakim berdasarkan pada kes yang dibawa ke mahkamah," katanya kepada pemberita selepas menutup Program Mahasiswa Turun Parlimen (Mantap), di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.
RUU Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017 yang bertujuan meminda Seksyen 39B akan dibentang untuk bacaan kali kedua di persidangan Dewan Rakyat esok selepas dibacakan untuk kali pertama 23 Nov lepas.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata pasukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan keseluruhan agensi berkaitan di bawahnya berada pada skala 10/10 atau tahap tertinggi dari segi kesiapsiagaan dalam menghadapi banjir di negeri-negeri Pantai Timur.
Katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim juga kini berada di Terengganu dan Kelantan bagi melakukan pemantauan terhadap aktiviti kendalian agensi-agensi yang turun memberikan bantuan di kedua-dua negeri itu.
Timbalan Perdana Menteri berkata koordinasi dilakukan bukan hanya secara berkala tetapi juga berstruktur, termasuk menyediakan senarai semakan tertentu kepada agensi-agensi terlibat, pembahagian kerja dan kawasan tanggungjawab masing-masing.
Beliau berkata semua aset pasukan keselamatan dan penyelamat berada dalam keadaan siap di kawasan yang telah dikenal pasti dan akan terus dimobilisasikan jika perlu.
Mengenai Mantap yang memasuki siri ketujuh, Ahmad Zahid berkata kesemua mereka dari siri pertama hingga terkini akan dikumpulkan untuk diasimilasikan bersama jentera Barisan Nasional (BN) bagi memantapkan kempen BN dalam kalangan generasi muda pada pilihan raya umum akan datang.
-- BERNAMA
#Ahmad Zahid Hamidi
#Akta Dadah Berbahaya
#alternatif
#banjir
#Dadah
#Dewan Rakyat
#hakim
#Hukuman
#mahkamah
#MANTAP
#Parlimen
#pesalah
#pindaan
#Program Mahasiswa Turun Parlimen
#Shahidan Kassim