Pindaan RUU Racun untuk pastikan hak pesakit terjamin - Dr Dzulkefly
Bernama
Disember 1, 2019 18:25 MYT
Disember 1, 2019 18:25 MYT
Cadangan peruntukan baharu dalam Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2019 adalah bagi memastikan hak pesakit dijamin dengan diberi pilihan setelah selesai sesi konsultasi untuk menentukan tempat mendapatkan bekalan ubat bagi rawatannya sama ada di fasiliti perubatan itu sendiri atau di sebuah farmasi luar.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ia sama sekali tidak menyekat pengamal perubatan berdaftar untuk membekalkan ubat kepada pesakitnya jika pesakit memilih untuk mengambil ubat di fasiliti perubatan mereka sepertimana amalan semasa.
"KKM (Kementerian Kesihatan) juga ambil maklum bantahan beberapa pihak terhadap jenis hukuman yang dikenakan sekiranya peruntukan ini tidak dipatuhi.
"Setelah perkara ini dibincangkan dengan Pengurusan Tertinggi KKM, Majlis Penasihat Kesihatan (HAC) dan Kamar Peguam Negara, KKM bersetuju untuk meneliti semula perkara ini dan akan membentangkan cadangan penambahbaikan dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Rang Undang-undang Racun (Pindaan) 2019 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di persidangan Dewan Rakyat pada 25 Nov lalu, antara lain memperkenalkan peruntukan baharu yang mewajibkan pengamal perubatan berdaftar untuk mengeluarkan preskripsi jika diminta oleh pesakitnya.
Kenyataan itu susulan artikel disiarkan pada 29 Nov lalu, bertajuk 'MMA slams proposed fine, jail for doctors refusing to give prescription slips' di laman sesawang sebuah portal berita (Free Malaysia Today (FMT) dan beberapa laporan lain berkaitan perkara sama.
Menerusi artikel itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyifatkan rang undang-undang yang membolehkan doktor didenda dan dipenjara kerana menolak memberikan preskripsi atas permintaan pesakit sebagai "tidak wajar".
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly turut menegaskan dakwaan bahawa pengamal perubatan akan terus dikenakan hukuman penjara sekiranya tidak mengeluarkan preskripsi atas permintaan pesakit adalah sebagai tidak benar.
Beliau menjelaskan sebelum satu preskripsi boleh dikeluarkan, pesakit mesti terlebih dahulu menjalani sesi konsultasi dengan seorang pengamal perubatan berdaftar, memandangkan ia merupakan asas untuk preskripsi dikeluarkan kepada pesakit.
"Ini bermaksud pesakit tidak boleh sewenang-wenangnya berjumpa dengan pengamal perubatan berdaftar dan menuntut apa jua preskripsi dikeluarkan," katanya.
-- BERNAMA
#Dewan Rakyat
#Dr Dzulkefly Ahmad
#Kementerian Kesihatan
#KKM
#Menteri Kesihatan
#MMA
#Persatuan Perubatan Malaysia
#pesakit
#Rang Undang-Undang Racun
#RUU Racun