Pindaan RUU kukuhkan usaha Sarawak tuntut hak, bukan persediaan keluar Malaysia

Nuzuluddin Abdul Razak
Februari 16, 2022 15:38 MYT
Abdul Karim berkata, tuntutan yang diperjuangkan itu adalah atas dasar Perlembagaan bukannya persediaan negeri itu untuk keluar daripada Malaysia. - Gambar/ Astro AWANI
KUCHING: Selepas Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, status Sarawak dan Sabah sebagai salah satu wilayah semasa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dikembalikan.
Menteri Pelancongan, Seni Kreatif, dan Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata pindaan RUU tersebut membuka ruang kepada kerajaan negeri untuk menggunakan kebijaksanaanya mentafsir dan menuntut hak Sarawak yang terhakis melalui MA63 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
Jelasnya, tuntutan yang diperjuangkan itu adalah atas dasar Perlembagaan bukannya persediaan negeri itu untuk keluar daripada Malaysia.
“Sarawak tidak berniat untuk keluar daripada Malaysia malah kita sentiasa mahu kekal dalam negara ini, tetapi undang-undang yang sedia ada dalam Perlembagaan perlu dijelaskan dengan baik.
“Semestinya kita tidak mahu setaraf dengan negeri-negeri lain di Semenanjung, bukan kita memandang rendah tetapi atas dasar penubuhan Malaysia, ia melibatkan Persekutuan Tanah Melayu mewakili negeri-negeri yang lain, Wilayah Sarawak dan Sabah.
“Saya sedar beberapa ahli politik di Semenanjung mungkin tidak gembira dan mempersoalkan keputusan Sarawak dalam perkara ini, namun secara perlahan mereka akan dapat memahami apa yang kita perjuangkan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Rabu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya itu, berkata Sarawak akan melihat secara terperinci semua perkara yang terkandung dalam MA63 dan memastikan haknya diserahkan kembali.
Katanya, Sarawak akan memastikan hak negeri ini dalam pengurusan serta pentadbiran sumbernya diperkukuhkan samada dalam struktur ekonomi, pelancongan dan telekomunikasi.
“Inilah sebab mengapa kita mahu menempatkan wakil kita di dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), kerana dengan itu kita akan tahu berapa jumlah yang kerajaan Persekutuan perolehi daripada Sarawak dan mekanisme yang digunakan untuk menjamin hak kerajaan negeri dalam hal ini.
“Pelancongan satu industri yang besar, semasa MA63 termetrai, ia tidak berada di dalam mana-mana senarai Persekutuan atau senarai negeri, malah tidak diberikan perhatian sepenuhnya ketika itu, sebelum secara perlahan dimasukkan ke dalam senarai Persekutuan.
“Kita mahu ia dimasukkan di bawah senarai negeri, kita tidaklah tamak, dahulu pelancongan tidak pernah diterangkan kepada Sarawak sebelum ia diselitkan di bawah senarai Persekutuan, kita mahu berkongsi sumber yang ada setidaknya peruntukkan pelancongan kepada negeri ini akan lebih tinggi”, jelasnya.
Tambahnya, antara perkara lain yang sedang diberi perhatian oleh kerajaan negeri selaras dengan semangat MA63 adalah mengenai hak untuk menjaga perairan melibatkan pelantar benua, Luconia Shoals yang terkenal dengan gugusan Beting Patinggi Ali, dan penguntukan spektrum melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Terdahulu pada Selasa, DUN Sarawak telah meluluskan RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 melibatkan bebebrapa aspek khasnya perkara 6(3) Perlembagaan Negeri Sarawak menggantikan terma Ketua Menteri kepada 'Premier'.
Turut dipinda di bawah RUU berkenaan adalah Perkara 7A bagi menggantikan jawatan Menteri Muda kepada Timbalan Menteri.
Pindaan RUU ini diusulkan selepas RUU Perlembagaan (Pindaan) 2022 Akta A1642 diperkenan Yang di-Pertuan Agong merangkumi pindaan kepada perkara 1(2), 160 (2), 161A (6) dan (7) Perlembagaan Persekutuan pada 11 Februari 2022.
RUU itu antaranya menjelaskan lagi kedudukan negeri-negeri di Malaysia selaras dengan MA63 dan laporan IGC yang juga sekaligus memberi kuasa perundangan khusus kepada negeri Sarawak.
#Sarawak #pindaan RUU #MA63 #keluar Malaysia