Pindaan RUU 588: Satira, parodi bukan lagi jenayah selagi tidak ‘jelik melampau’ - Fahmi

Irfan Faruqi
Disember 6, 2024 22:35 MYT
Fahmi dalam program Agenda AWANI berkata dalam pindaan RUU 588, satira dan parodi tidak lagi menjadi suatu jenayah secara automatik. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 menegaskan kebebasan dan hak bersuara rakyat dalam batas yang khusus.

Ringkasan AI
  • Kesalahan di bawah Seksyen 233 tidak lagi menjadikan satira dan parodi sebagai jenayah secara automatik, tetapi masih ada batasan yang perlu dipatuhi.
  • Istilah 'jelik melampau' kini dikhususkan kepada kandungan yang sangat menyinggung perasaan, termasuk ucapan kebencian dan keganasan, dengan pengecualian untuk laporan berita yang beretika dan komunikasi yang dibuat dengan suci hati.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata dalam pindaan ini, kesalahan di bawah Seksyen 233 tidak lagi menjadikan satira dan parodi sebagai suatu jenayah secara automatik.
"Takrif terma 'jelik’ dikhususkan kepada jelik melampau berserta sejumlah huraian, sama ada dari aspek penguatkuasaan atau mahkamah untuk diteliti serta difahami.
“Kita hendak pertahankan hak rakyat Malaysia untuk bebas bersuara. Pada masa sama kita tetapkan batas-batas tertentu dan kita hendak jelaskan batas-batas ini.
“Selepas ini satira dan parodi tidak akan menjadi jenayah secara automatik. Maksudnya, satira dan parodi bukan jenayah, tetapi ada batas-batasnya juga,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Jumaat.
Pindaan RUU 588: Satira, parodi bukan lagi jenayah selagi tidak ‘jelik melampau’ - Fahmi
Berdasarkan dokumen RUU yang diterbitkan di portal Parlimen Malaysia, antara huraian yang disertakan bagi menjelaskan istilah ‘jelik melampau’ ialah kandungan yang memaki dan tidak senonoh yang menyinggung perasaan ramai pihak termasuk rujukan yang kasar, ucapan bernada kebencian dan keganasan.
Dalam huraian yang sama, pemaparan keganasan dalam laporan berita berdasarkan etika kewartawanan adalah tidak termasuk dalam maksud jelik melampau. Begitu juga, apa-apa komunikasi yang dibuat dengan suci hati adalah tidak jelik melampau setakat mana komunikasi tersebut terdiri daripada pernyataan fakta, adalah benar pada isi dan fakta, dan terdiri daripada pernyataan pendapat.
Pada 2 Disember lalu, Fahmi telah membentangkan RUU berkenaan untuk Bacaan Kali Pertama di Dewan Rakyat.
Agenda AWANI: Pindaan RUU 588 & Jenayah Siber
#Fahmi Fadzil #RUU 588 #Komunikasi dan Multimedia #kementerian komunikasi
;