Pindaan rang undang-undang berkaitan siling gaji diinsuranskan Perkeso dijangka dibentang tahun ini

Bernama
Februari 28, 2024 16:21 MYT
Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia dijangka membentangkan cadangan bagi meminda dua rang undang-undang berkaitan siling gaji diinsuranskan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) daripada RM5,000 kepada RM6,000 tahun ini.
Menterinya Steven Sim Chee Keong berkata ia membabitkan Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Pekerja dan Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan.
"Ketika ini pekerja yang mempunyai gaji melebihi RM5,000 adalah kira-kira 1.45 juta orang manakala pekerja yang berskala gaji kurang dari RM5,000 adalah 8.38 juta orang. Peningkatan (siling gaji) ini dapat menambah baik perlindungan keselamatan sosial Perkeso dengan meningkatkan faedah-faedah bagi kedua-dua akta," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata pindaan berkenaan adalah selaras dengan fokus 3K kementerian iaitu untuk meningkatkan kebajikan, kemahiran dan keberhasilan dalam kalangan pekerja di negara ini.
Beliau yang baru dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia Disember lepas berkata dalam tempoh tiga bulan perkhidmatannya, pelbagai inisiatif yang berlandaskan 3K telah dilaksanakan.
Katanya ia antara lain melibatkan inisiatif Veteran MyWIRA dengan kerjasama Kementerian Pertahanan bagi menyediakan laluan kerjaya yang memenuhi keperluan industri kepada golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Sementara itu, Sim berkata Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menyediakan latihan secara percuma kepada 10,000 golongan pekerja menerusi program latihan Pertolongan Cemas Kesihatan Mental Pekerjaan (OPFA).
"Saya juga umumkan inisiatif pengukuhan bagi memperkasakan Mahkamah Perusahaan...contohnya kita telah tambah tempoh lantikan pengerusi atau hakim Mahkamah Perusahaan daripada dua (tahun) ke empat tahun bagi melancarkan proses mahkamah," katanya.
Sim berkata beliau juga telah mengarahkan kajian dibuat bagi melihat bagaimana keseluruhan ekosistem gig dapat diperkasakan bagi menjaga hak dan kebajikan golongan itu dan tidak hanya melibatkan pekerja p-hailing dan e-hailing.
"Pekerja gig ini telah lama menunggu satu ekosistem lebih baik dengan hak mereka dari segi gaji, perlindungan keselamatan sosial dan dari segi kebajikan akan lebih terpelihara," katanya.
-- BERNAMA
#Kementerian Sumber Manusia #Steven Sim #Dewan Rakyat #perkeso #siling gaji diinsuranskan
;