Pindaan perlembagaan PKR beri lebih suara kepada pimpinan Sabah, Sarawak

Tan Su Lin
November 24, 2013 18:29 MYT
Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan datang bakal menyaksikan jawatan naib presiden diisi oleh sekurang-kurangnya seorang wakil daripada Sabah atau Sarawak.
Perkara itu diluluskan dalam Kongres Nasional Khas PKR hari ini yang sebulat suara meminda perlembagaan parti sekaligus memberi lebih suara dan kuasa kepada kepimpinan dari 2 negeri itu.
Pindaan perlembagaan parti itu dibentangkan setiausaha agung Datuk Saifuddin Nasution dan diluluskan oleh 885 anggota perwakilan yang menghadiri kongres tersebut di Shah Alam.
Menerusi pindaan itu, pengerusi PKR dari Sabah dan Sarawak secara automatik juga memperoleh keanggotaan dalam biro politik parti.
"Presiden parti keadilan mempunyai kuasa melantik 3 naib presiden selain 4 yang menang bertanding. Daripada 3 boleh dilantik, perlembagaan yang baru ini mensyaratkan presiden mesti melantik seorang dari Sabah dan Sarawak" jelas Saifuddin.
Kongres khas tersebut diadakan bagi membentang dan meluluskan beberapa pindaan terhadap perlembagaan parti sebagai langkah memenuhi tuntutan semasa politik tanah air.
Pindaan lain termasuk memperkasa fungsi wanita sehingga 30% dalam menggubal dan membuat keputusan melibatkan kepentingan semua pihak.
Sementara itu, ditanya mengenai status ketua umum Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Saifuddin ia tidak termasuk dalam pindaan perlembagaan.
"Perkara ini telah dibincang sejak 2007 di kongres parti di Seremban. Datuk Seri Anwar sebenarnya dilantik sebagai ketua umum dalam kongres parti pada waktu itu. Itu keputusan 'open ended' bukan jadi ketua umum 3 atau 5 tahun. Sebagai seorang simbol perjuangan dan lahirnya parti keadilan, anggota parti berpendapat jawatan beliau dalam parti keadilan tidak sepatutnya diisi dengan cara bertanding."
Ketika ini, jawatan ketua umum tidak wujud dalam perlembagaan parti. Pindaan perlembagaan parti meletakkan presiden sebagai pegawai utama parti dan bertanggngjawab menjaga perjalanan parti.
Terdahulu, seorang anggota perwakilan turut mencadangkan ketua umum parti Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan presiden berdasarkan sumbangan dan pengorbanannya kepada parti.
"Inilah saat terbaik untuk Anwar mengambil alih dan menerajui kepimpinan PKR sebagai pemimpin utama parti," kata Setiausaha PKR Selangor Amirudin Shari ketika membahas cadangan pindaan perlembagaan PKR.
Bagaimanapun, Anwar ketika ditemui pemberita selepas berakhirnya kongres itu berkata beliau perlu menunggu kelulusan pendaftar pertubuhan (ROS) bagi pindaan perlembagaan parti sebelum membuat sebarang keputusan mengenai jawatan presiden.
Ini merupakan kali keempat parti itu meminda perlembagaannya di mana kali terakhir ialah pada tahun 2010 yang menetapkan pemilihan secara langsung melalui seorang anggota satu undi.
#Anwar Ibrahim #Ketua Umum #Kongres Nasional #PKR
;