Pindaan MA63: Bukti perjuangan GPS kembalikan hak Sarawak - Abang Jo

Nuzuluddin Abdul Razak
Disember 15, 2021 04:37 MYT
Kata Abang Johari (gambar), keputusan itu juga pengiktirafan kepada semangat kesatuan negara antara Sarawak dan Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. - Astro AWANI
SARATOK: Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah diluluskan Dewan Rakyat adalah bukti perjuangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam mengembalikan kedaulatan dan hak negeri itu.
Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberitahu keputusan itu juga pengiktirafan kepada semangat kesatuan negara antara Sarawak dan Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kita menuntut untuk mempertahankan hak yang telah diputuskan dalam MA63 dan saya berterima kasih kerana keluhuran undang-undang itu dapat dijaga.
“Ini adalah salah satu perjuangan yang dibawa GPS untuk mempertahankan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN) dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN bagi kawasan Krian, Saratok di Dewan Serbaguna Ladang Kelapa Sawit Roban
Selatan pada Rabu.
Jelas Abang Johari hak yang dituntut negeri itu berbentuk menyeluruh bukan sahaja tertakluk kepada MA63 namun juga menyentuh kepada Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962.
“Saya mengucap terima kasih kepada semua Ahli Perlimen Malaysia yang hadir semalam dan telah meluluskan RUU MA63 di mana saya mengalu-alukan dengan pindaan itu khasnya dengan perkara 160 (2) yang menjelaskan mengenai perjanjian Malaysia dalam definisi persekutuan iaitu selain Perjanjian Tanah Melayu juga dimasukkan M63 termasuk enakmenya iaitu IGC,” katanya.
Pada Selasa, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) selepas mendapat sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen.
Berdasarkan pindaan itu, Perkara 1 Perlembagaan dicadang dipinda dengan menggantikan Fasal (2) kepada Negeri-negeri Persekutuan.
Ianya terdiri daripada (a) Negeri-negeri Tanah Melayu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu, dan (b) Negeri-Negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.
Pindaan juga dicadang pada Fasal 2 Perkara 160 Perlembagaan dengan memasukkan takrif Hari Malaysia dan menggantikan takrif Persekutuan selaras semangat Perjanjian Malaysia bertarikh 9 Julai 1963 dan menurut perjanjian berhubung pemisahan Singapura daripada Malaysia sebagai negara merdeka dan berdaulat bertarikh 7 Ogos 1965.
Bacaan kali pertama rang undang-undang itu dibuat pada 3 November lalu.
#Perjanjian Malaysia 1963 #MA63 #perjuangan GPS #Jaga hak Sarawak