Pindaan libatkan semua pekerja tanpa mengira gaji
Bernama
Mac 23, 2022 05:00 MYT
Mac 23, 2022 05:00 MYT
PUTRAJAYA: Pindaan utama dalam Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2021 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin lepas, adalah bagi meluaskan pemakaian Akta Kerja 1955 (Akta 265) ke atas semua pekerja tanpa mengira gaji, menurut Kementerian Sumber Manusia (KSM).
KSM dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan buat masa ini, Akta 265 hanya terpakai bagi kategori pekerja yang dinyatakan Jadual Pertama.
Ia melibatkan pekerja bergaji RM2,000 dan ke bawah serta pekerja tanpa mengira had gaji seperti buruh kasar, pekerja yang terlibat dalam operasi kenderaan berjentera dan pekerja yang menyelia pekerja buruh kasar serta pekerja domestik.
"Dengan peluasan ini, mana-mana peruntukan sedia ada dalam Akta 265 yang menyentuh had gaji pekerja perlu dimansuhkan, iaitu seksyen 44A, 69B, 69C, 69E dan 81G," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan KSM itu, pindaan susulan perlu dibuat kepada Jadual Pertama Akta 265, melalui suatu perintah selaras dengan kuasa Menteri Sumber Manusia di bawah Subseksyen 2(2) Akta 265, bagi membolehkan semua pekerja di negara ini mendapat faedah dan perlindungan minimum yang ditetapkan.
"Pihak kementerian telah menyediakan draf perintah untuk meminda Jadual Pertama dan memberi jaminan bahawa perintah tersebut akan dikuatkuasakan secara serentak, pada tarikh kuat kuasa Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2021, yang akan ditetapkan kelak," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA