Pindaan kepada Akta Koperasi berkuat kuasa 1 Mac

Bernama
Mac 1, 2021 05:12 MYT
WAN JUNAIDI: Pindaan yang dibuat turut memudahkan koperasi untuk menerima pembiayaan daripada mana-mana institusi kewangan di bawah seliaan Bank Negara Malaysia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Koperasi 1993 (Akta 502) kepada Akta Koperasi (Pindaan) 2021 (A1634) yang mula dikuatkuasakan semalam, akan terpakai bagi semua koperasi yang berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pindaan melibatkan sembilan peruntukan dalam Akta 502 itu dilihat akan memberi impak positif kepada masyarakat terutama gerakan koperasi.
Beliau berkata secara dasarnya, ia dilihat selaras dengan dasar kerajaan semasa supaya operasi perniagaan koperasi pada masa ini lebih mudah selain memastikan koperasi yang didaftarkan adalah berkualiti.
"Tindakan pindaan akta ini dibuat bertepatan dengan sasaran sumbangan perolehan koperasi kepada ekonomi negara bernilai RM100 bilion menjelang 2030.
"Secara tidak langsung sektor koperasi dilihat sebagai instrumen utama untuk melonjakkan keusahawanan dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah atau B40," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Wan Junaidi berkata antara pindaan utama yang dibuat adalah berkaitan syarat pendaftaran koperasi asas yang telah dipermudah dengan bilangan individu bagi tujuan pendaftaran dikurangkan daripada 50 orang kepada 20 orang sahaja.
Beliau berkata perkara itu sangat bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk menggalakkan golongan B40 terutamanya, menceburi aktiviti perniagaan melalui koperasi di samping dapat memasyarakatkan gerakan koperasi berdasarkan kumpulan sasar seperti belia, wanita, komuniti atau masyarakat peribumi seperti Orang Asli.
"Selain itu, pindaan yang dibuat ini turut membenarkan atau memudahkan lagi koperasi untuk menerima pembiayaan daripada mana-mana institusi kewangan di bawah seliaan Bank Negara Malaysia dan koperasi yang ditentukan oleh SKM tanpa perlu mendapatkan kelulusan SKM terlebih dahulu seperti sebelum ini," katanya.
Beliau berkata pindaan kepada Akta 502 ini juga selari dengan Bidang Tujahan Kedua, Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TRANSKOM) 2021-2025 yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Pindaan kepada Akta 502 ini telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 17 Dis, 2020 dan Dewan Negara pada 29 Dis, 2020.
-- BERNAMA
#Dewan Rakyat #operasi #SKM #pindaan #Akta Koperasi #impak positif #koperasi #Wan Junaidi Tuanku Jaafar #Akta 502 #perniagaan #dasar kerajaan #berkualiti #sumbangan perolehan #ekonomi #keusahawanan #isi rumah #pendapatan rendah #B40 #syarat pendaftaran #pembiayaan
;