Pindaan AUKU: Pergerakan golongan mahasiswa tidak lagi terhad - PKPIM
Pia Ernadya
Mac 20, 2024 08:40 MYT
Mac 20, 2024 08:40 MYT
KUALA LUMPUR: Sekiranya tiada pindaan dibuat terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, peranan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti akan menjadi kecil dan suara hati mahasiswa tidak akan diendahkan.
Ini kerana, kata Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Muhammad Dzul Aiman Zulkefly, golongan mahasiswa berada di bawah pentadbiran hal ehwal universiti masing-masing.
“Keadaan ini mengehadkan pergerakan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab dan memperkasakan peranan mahasiswa, terutamanya berkaitan dengan kebolehan untuk menyelia kewangan dan sebagainya.
"Agenda untuk memperkasakan (mahasiswa) akan terhad kerana kelulusan kewangan oleh MPP mungkin tidak banyak dan boleh mengeluarkan beberapa sahaja,” katanya semasa program Pantau Agenda Reformasi semalam.
Muhammad Dzul Aiman berkata demikian mengulas Rang Undang-Undang (RUU) Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2023 yang diluluskan Dewan Rakyat susulan undian sebulat suara oleh 22 Ahli Parlimen pada Isnin.
Antara peruntukan RUU itu melibatkan Seksyen 15A iaitu memberi kebenaran kepada MPP dan Badan Pelajar untuk memungut wang atau menerima sumbangan lain.
Peruntukan lain termasuk Seksyen 16B iaitu pertukaran Pihak Berkuasa Tatatertib Pelajar Universiti, Seksyen 48(4) Jadual Pertama iaitu tempoh lantikan Majlis Perwakilan Pelajar berdasarkan kalendar akademik dan Seksyen 48(11) Jadual Pertama iaitu Majlis Perwakilan Pelajar dibenarkan untuk menyenggara Kumpulan wang (akaun).
Turut dipinda, Seksyen 48(12A) Jadual Pertama iaitu kuasa kepada Lembaga membuat peraturan berkaitan pemungutan wang di Seksyen 15A serta Seksyen 49(2) Jadual Pertama iaitu pemakaian yang menyaksikan badan pelajar universiti menerima kemudahan sama seperti yang diterima oleh MPP.
Tambah Muhammad Dzul Aiman, pindaan kepada undang-undang itu akan membuka ruang yang lebih besar dan mahasiswa akan menjadi lebih bersikap terbuka.
“Mahasiswa pada era selepas ini tidak akan lagi bersikap tertutup atau terangkum hanya dalam skala universiti mereka kerana sekarang mereka mempunyai satu peranan besar yang boleh bawa mereka lebih jauh, seperti mengubah institusi kenegaraan, pendidikan, perlembagaan undang-undang dan sosial dan kemanusiaan.
“Kalau kita lihat dari tahun 70-an dan seterusnya, mereka (mahasiswa) dahulu mempunyai autonomi untuk menyelia dan juga memperkasakan golongan tersendiri kerana mereka ada sumber dana dan kekuatan sendiri.
“Dengan meminda RUU ini, terutamanya pada Seksyen 15, ia secara tidak langsung akan membuka pemikiran dan juga membuka peluang mahasiswa untuk menyerlahkan lagi potensi dan juga memperkasakan serta boleh memberi perkhidmatan yang menyeluruh kepada seluruh mahasiswa khususnya di universiti masing-masing.”
Terdahulu, bacaan kali pertama RUU itu dibentang pada 27 Nov 2023 oleh bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan lagi sekali dibentangkan bagi bacaan kali kedua dan digulung oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Ini adalah pindaan terbaharu ke atas akta itu selepas kali terakhir pada 10 Dis 2018, iaitu pemansuhan sepenuhnya Seksyen 15(2)(c) yang menghalang mahasiswa terbabit dalam kegiatan politik di kampus.
RUU tersebut bertujuan menambah baik tadbir urus sehingga pengurusan aktiviti dan tatatertib pelajar, dengan melibatkan pindaan enam perkara dalam akta itu, diluluskan setelah bacaan kedua dan ketiga oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir di Dewan Rakyat pada Isnin.